Kerap dilihat bersama serta berkongsi momen di media sosial, pempengaruh Ammar akhirnya tampil menjelaskan status hubungannya dengan usahawan dan personaliti media sosial, Cik Epal.

Artikel Berkaitan: Anak-Anak Didakwa Tidak Diserahkan, Cik Epal Terpaksa Batal Percutian Ke Luar Negara – ‘Saya Berhabis Puluhan Ribu Ringgit’

Rakan kerja

Ammar berkata, hubungan mereka tidak lebih daripada rakan sekerja, namun tidak menolak takdir jika dijodohkan pada masa akan datang.

Saya bersama Cik Epal atas urusan kerja. Sebab itu orang selalu nampak kami bersama. Hubungan kami hanyalah sebagai rakan sekerja dan tidak lebih daripada itu.

Namun untuk masa akan datang, saya sendiri tidak tahu apa yang bakal berlaku. Buat masa ini, kami memang bekerja bersama.

Saya sebenarnya pengurus Cik Epal dan menguruskan perniagaan dia untuk Pizza Mendonia. Jadi kebanyakan masa kami bersama adalah atas urusan kerja.

Ammar berkata demikian ketika ditemui pada acara meet & greet bersama Senario, Cik Epal dan Ammar yang berlangsung di Jakel Melaka, pada Sabtu.

Sementara itu, Cik Epal turut mengakui selesa dengan hubungan persahabatan yang terjalin dan menghargai segala doa baik yang dititipkan oleh peminat.

Apa yang Ammar cakap itu benar. Sebab itulah kami sering dilihat bersama. Saya selesa berkawan dengan Ammar kerana dia banyak membantu dan memberi pandangan yang berguna, terutamanya dalam urusan kerja.

Kalau ada jodoh, Alhamdulillah. Jika tiada pun tidak mengapa. Kami masih boleh berkawan. Terima kasih kepada semua yang mendoakan perkara baik-baik.

Pada masa sama, Ammar turut menzahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada Cik Epal serta pihak Jakel atas peluang yang diberikan kepadanya apabila dilantik sebagai duta kempen Raya Jakel 2026.

Terima kasih kepada Cik Epal dan Jakel. Mungkin sebelum ini saya sering menemani Cik Epal ke majlis-majlis Jakel, kemudian pihak Jakel sendiri menjemput saya untuk menjadi duta kempen Raya 2026.

Di sebalik rezeki Cik Epal, terselit juga rezeki untuk saya. Saya sangat bersyukur dengan peluang ini.