Jenama wangian tempatan, Sugarbomb terus mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa apabila sekali lagi menjadi satu-satunya wakil ASEAN di pameran antarabangsa Beautyworld Middle East 2025 yang berlangsung di Dubai World Trade Centre, baru-baru ini.

Artikel Berkaitan: Fragrance Festival Malaysia 2.0: Acara Haruman Terbesar Kembali Oktober Ini!

Sugarbomb di pentas dunia

Tahun ini Sugarbomb tampil lebih berani dengan memperkenalkan Nostalgia Heritage Collection iaitu koleksi eksklusif lima wangian ikonik, antaranya Bara Senja, Suci Nurani, Titis Embun, Seloka Malam dan Gemersik Sutera.

Menariknya, koleksi tersebut turut mendapat pengiktirafan dan kerjasama daripada Givaudan, pembekal minyak wangi terbesar dunia yang turut membekalkan bahan asas kepada jenama mewah seperti Chanel dan Dior.

Ketua Pegawai Eksekutif Sugarbomb, Ahmad Azhari Rosli berkata, dalam langkah memperkukuh identiti warisan tempatan, Sugarbomb turut menjalin kolaborasi bersama Tinta Sutera, pengilang batik dari Kelantan yang mencanting motif batik khas pada penutup setiap botol wangian.

Kami bangga membawa warisan Malaysia ke pentas dunia melalui seni batik dan wangian. Ini lebih dari sekadar produk, ia adalah cerita tentang budaya, identiti dan inovasi.

Tambah Ahmad Azhari, penyertaan kali ini membawa makna besar kerana bukan mudah untuk menembusi pasaran antarabangsa yang sangat kompetitif.

Ini adalah tahun kedua Sugarbomb berada di Beautyworld Middle East, pameran minyak wangi dan kosmetik terbesar di dunia.

Untuk diterima sebagai pempamer bukan mudah, hanya jenama yang benar-benar kukuh dan mempunyai strategi jelas akan dipilih.

Walaupun hanya diberi booth kecil. Tapi tahun ini, kami diberi ruang empat kali ganda lebih besar kerana mereka nampak kesungguhan dan kualiti yang kami bawa.

Lebih membanggakan, tahun ini juga menyaksikan pelancaran rasmi kolaborasi Sugarbomb bersama Givaudan di Dubai, disaksikan wakil Konsulat Malaysia dan delegasi antarabangsa.

Sugarbomb kini dalam misi memperluas pasaran dengan fokus kepada pengedar dari Eropah, Amerika Utara, Afrika serta negara-negara ASEAN.

Setakat ini, syarikat itu sudah menembusi pasaran di Dubai, India, Pakistan dan United Kingdom, serta sedang berunding dengan Argentina dan beberapa negara lain.

Identiti Malaysia

Melalui koleksi Nostalgia Heritage Collection, Sugarbomb mengetengahkan identiti Malaysia yang menggabungkan elemen tradisi dan moden.

Kami mahu dunia tahu Malaysia juga ada keunikan tersendiri. Wangian kami diinspirasikan oleh memori dan perasaan, seperti bau hujan, timun, pudina dan daun hijau yang mengimbau kenangan lama.

Menariknya, pelancaran rasmi koleksi itu di Malaysia nanti bakal menampilkan kerjasama eksklusif bersama beberapa selebriti tempatan yang akan dilantik sebagai duta rasmi.

Kami nak pilih artis yang benar-benar cintakan perfume, bukan sekadar wajah promosi. Kami mahu Nostalgia by Sugarbomb menjadi simbol Malaysia, seperti mana Amouage menjadi kebanggaan Oman.

Untuk maklumat lanjut mengenai koleksi terkini dan perkembangan Sugarbomb, layari www.sugarbombgroup.com.