Penyanyi terkenal dan juga ahli perniagaan Datuk Seri Rossa, 43 baru-baru ini ditanya mengenai pandangannya terhadap hasrat usahawan sensasi, Ahmad Iqbal Zulkifli,27 yang ingin cuba mendekatinya dan secara spontan penyanyi terkenal itu menjawab yang dia tidak mengenali Iqbal.
‘Maaf, saya tidak kenal siapa dia’
Difahamkan, ketika sidang media secara virtual single terbaharu berjudul Terlalu Berharap, Rossa menyatakan bahawa dia tidak mengenali Iqbal dan berfikir jika mereka pernah berjumpa sebelum ini atau tidak. Tetapi apabila dimaklumkan Iqbal ada berjumpanya ketika menghadiri tayangan perdana filem Love Knots di Jakarta, Rossa mengakui dia memang ada bertemu seseorang dari Malaysia yang minta bergambar dengannya.
Maaf, saya tidak kenal siapa dia. Tetapi, pada hari itu (ketika hadir di acara tayangan perdana filem) memang ada seseorang yang bertemu saya dan perkenalkan dirinya dari Malaysia untuk minta bergambar sama.
Tambahnya lagi, dia tiada masalah jika peminat minta bergambar kerana selepas pada itu terus berlalu pergi. Dia turut menyatakan bahawa selepas bergambar, mereka tidak bercakap apa-apa kerana dia hanya memikirkan Iqbal hanyalah peminat.
Pelantun lagu Atas Nama Cinta itu juga berkata bahawa dia tiada masalah sekiranya ada individu yang berminat ingin berkenalan dengannya kerana dapat menambahkan lagi kenalan.
Kalau sekadar mahu kenalan tidak apa-apa. Saya okey saja kerana boleh bersahabat seperti rakan-rakan yang lain juga.
‘Soal jodoh saya serahkan kepada Allah’
Umum tahu, Rossa yang sudah 12 tahun menjalani kehidupan sebagai ibu tunggal berkata dia kini lebih selesa dengan hidup solo dan hubungan cinta bukan keutamaannya.
Soal jodoh, saya lebih selesa serahkan kepada Allah kerana Dia Maha Tahu. Lagi pula, saya yaking jika ada jodoh buat saya suatu hari nanti, pasti tiba masanya.
Rossa turut menyatakan bahawa buat masa sekarang dia masih lagi solo dan tidak berkawan rapat dengan sesiapa pun. Namun, itu tidak bermakna dia telah menutup pintu hatinya.
Saya tidak menutup hati untuk menerima cinta, tetapi sekarang saya memang masih sendiri dan tidak berkawan rapat dengan sesiapa pun.
Sumber: Harian Metro