Mungkin masih ramai yang belum sedia maklum bahawa pada kebiasaannya Pejabat Kesihatan akan mengerahkan anggota mereka untuk membuat satu pemeriksaan yang dikenali sebagai Active Case Detection (ACD) di sesuatu kawasan jika menerima laporan berhubung sebarang kes atau virus penyakit yang merbahaya.
Bagaimanapun baru-baru ini, tular di media sosial kisah dua orang anggota dari pejabat Kesihatan yang telah disalah-erti sebagai individu yang kononnya cuba menipu seorang penduduk ketika sedang menjalankan tugas. Tampil menjelaskan ‘tuduhan’ yang dibuat individu itu, Pembantu Kesihatan Awam menerusi laman Facebooknya menceritakan perkara yang sebenar kepada umum.
Gambar diviralkan
Rakan kita (1 PPKP,1 PKA) telah diviralkan atas tuduhan menyamar sebagai penjawat awam.
Gambar dan nama mereka tersebar di media sosial termasuk Facebook dan group WhatsApp.
Hasil siasatan mendapati,mereka ke sana pada 9/1/2020 untuk melakukan Active Case Detection (ACD) kerana kawasan tersebut sedang dilanda demam Malaria. 2 orang rakan kita berpakaian lengkap seperti di dalam gambar,memperkenalkan diri serta telah menunjukkan kad kuasa kepada penghuni rumah terbabit.
Hebahan siar raya menggunakan kenderaan jabatan juga telah dilakukan sebelum aktiviti ACD terbabit di jalankan. Penghuni rumah terbabit mendakwa tiada surat di edarkan sebelum pemeriksaan dibuat.
Kita semua sedia maklum, bagi aktiviti ACD, tiada sebarang surat akan diedarkan dan pemeriksaan ACD adalah merangkumi beberapa soalan sahaja seperti bilangan penghuni rumah serta keadaan penghuni rumah sama ada demam ataupun tidak.
Jika ada penghuni yang demam, mereka akan di nasihatkan untuk mendapatkan rawatan di hospital atau klinik. Tiada pemeriksaan premis akan dilakukan.
Jika ragu-ragu, boleh hubungi pejabat kesihatan
Pada hemah saya,untuk menjawab beberapa soalan di atas tidaklah rumit. Jika ragu-ragu,penghuni boleh menghubungi pejabat kesihatan yang terdekat untuk mendapatkan kepastian.
Tuduhan bahawa rumah bangsa Melayu tidak diperiksa juga sangat tidak berasas. Pihak kami tidak pernah rasis dalam menjalankan tugas. ACD hanya akan dilakukan jika penghuni ada di rumah. Jika tiada penghuni, ACD tidak akan dilakukan terhadap kucing atau pagar rumah.
Siasatan dan juga aktiviti pencegahan bagi kes Malaria adalah dalam jarak 2 kilometer radius dari rumah kes. Ini merangkumi semua premis kediaman, rumah ibadat, premis perniagaan, sekolah dan apa sahaja bangunan yang ada dalam lingkungan tersebut.
Tindakan mengambil gambar anggota kesihatan dan kemudian memuat naik ke media sosial dengan tuduhan yang tidak berasas adalah 1 tindakan yang sangat tidak bertanggungjawab.
1 laporan polis telah dibuat dan siasatan sedang di jalankan. Kami berharap agar kes ini menjadi pengajaran kepada orang awam agar tidak terburu-buru membuat fitnah serta menularkan gambar anggota kesihatan di media sosial memandangkan ada banyak lagi cara lain untuk mengesahkan identiti anggota kesihatan yang datang ke rumah anda.
Sumber: Facebook Pembantu Kesihatan Awam