Seorang kanak-kanak lelaki berdepan detik cemas apabila diserang seekor anjing sehingga cedera dalam kejadian dipercayai berlaku di kawasan perumahan Taman Megah, Cheras.

Artikel Berkaitan: Individu Dipukul Selepas Kantoi Melepaskan Nafsu Pada Anjing Betina – ‘Kira-Kira Dalam 12 Ke 13 Ekor’

Digigit Anjing

Insiden berkenaan sempat dirakam oleh orang awam yang berada di lokasi, sebelum seorang penunggang motosikal dilihat datang membantu cuba menyelamatkan mangsa daripada terus menjadi mangsa gigitan haiwan tersebut.

Rakaman berdurasi 11 saat itu memaparkan kanak-kanak berkenaan bergelut dengan anjing tersebut dalam keadaan panik sebelum akhirnya berjaya meloloskan diri.

Beberapa keping gambar turut tular memaparkan keadaan kanak-kanak itu yang berlumuran darah, dengan kesan kecederaan jelas kelihatan pada bahagian kepala dipercayai akibat gigitan dan kulit yang terkoyak.

Perkongsian video dan gambar berkenaan mula tular di Facebook sejak Rabu, sekali gus mencetuskan kebimbangan warganet.

Rata-rata netizen menggesa pihak berkuasa tempatan dan pihak berwajib untuk segera mengambil tindakan bagi memastikan kejadian seumpama itu tidak berulang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof mengesahkan pihaknya belum menerima sebarang laporan berkaitan insiden tersebut setakat ini.

Tiada laporan diterima setakat ini, namun pihak polis akan membuat semakan lanjut berhubung kejadian berkenaan.

Kejadian ini sekali lagi mengundang perdebatan dalam kalangan masyarakat mengenai isu keselamatan awam melibatkan haiwan peliharaan, khususnya anjing yang dibiarkan berkeliaran tanpa pengawasan.

Sumber: Buletin TV3