berita

Akibat Cemburu Suami Main TikTok Dengan Wanita Lain, Isteri Dibelasah Sampai Mati

February 10th, 2021 | by Shahira
Kini Trending

Seorang wanita warga asing dipercayai meninggal dunia selepas dipukul oleh suaminya. Insiden ngeri ini dipercayai berlaku pada 9 Februari (semalam) di Flat Pelangi Damansara, Selangor.

Cemburu tengok video TikTok

Memetik laporan Kosmo, kejadian tersebut didakwa berpunca selepas mangsa melihat satu video TikTok suaminya bersama wanita lain sehingga tercetusnya pergaduhan antara mereka. Difahamkan, wanita di dalam video tersebut merupakan isteri kedua suspek.

Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya iaitu Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd. Faisal, orang awam telah menghubungi pihak polis selepas menemui mangsa yang sudah tidak bernyawa di dalam rumah berkenaan. Ekoran daripada laporan yang diterima, pihak polis bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati terdapat kesan lebam pada tubuh badan mangsa.

Difahamkan, suspek bersama seorang wanita berusia 45 tahun telah ditahan oleh pihak polis bagi membantu siasatan.

Wanita tersebut mengaku dia merupakan isteri kedua suspek dan telah berkahwin pada November tahun lalu.

Suspek, isteri kedua ditahan polis

Semasa soal siasat, suspek mengaku telah menumbuk dan menampar mangsa berkali-kali sehingga dia tidak sedarkan diri sebelum mangsa ditinggalkan sendirian di dalam rumah tersebut.

Hasil soal siasat ke atas suspek yang berusia 29 tahun itu, dia mengaku telah bergaduh dengan mangsa selepas mangsa ternampak dia bersama wanita lain (isteri kedua) menerusi video di aplikasi TikTok.

Mayat mangsa dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk dibedah siasat dan punca kematian masih belum dikenalpasti. Kedua-dua suspek ditahan reman selama enam hari dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sumber: Kosmo

SKIP THIS AD ×