
Khabar gembira buat warga Johor apabila Karnival Jom Heboh (KJH) 2026 bakal kembali memeriahkan Padang B, Angsana Johor Bahru Mall selama tiga hari bermula 30 Oktober hingga 1 November ini.
Artikel Berkaitan: Karnival Jom Heboh x Mega JPJ MADANI 2026 ‘Gegar’ Pulau Pinang! Siap Ada Penampilan Tokti Tau!
Artikel Berkaitan: Jom Heboh Fun Run 2025 Tawar Hadiah Percutian Keluarga Ke Luar Negara!
KJH 2026

Memasuki tahun penganjuran ke-23, karnival yang diiktiraf sebagai Longest Running Outdoor Carnival oleh The Malaysia Book of Records itu, bakal menyajikan pelbagai aktiviti hiburan, riadah dan mesra keluarga untuk pengunjung daripada pelbagai peringkat usia.
Sepanjang karnival berlangsung, pengunjung boleh menyertai pelbagai aktiviti menarik seperti Pertandingan Karaoke Drama Sangat, Buletin Challenge, sesi bertemu peminat bersama pelakon drama TV3 dan personaliti TV9, pertandingan mewarna kanak-kanak, pemeriksaan kesihatan dan gigi percuma serta aktiviti Zumba.
Malah, kemeriahan karnival turut diteruskan menerusi Konsert Jom Heboh yang bakal berlangsung pada malam Sabtu dan Ahad, sekali gus menjanjikan persembahan menghiburkan buat para pengunjung.
Menariknya, lebih 150 reruai bakal menawarkan pelbagai promosi, hadiah dan pilihan makanan popular kepada pengunjung. Antara jenama yang turut serta ialah Mi Sedaap, FGV, BABA’S, AFFIN Bank dan CELCOMDIGI.
Jom Heboh Fun Run

Selain hiburan, pengunjung juga berpeluang menyertai Jom Heboh Fun Run Lari Baik-Baik bersama KWSP yang kembali ke Johor Bahru selepas menerima sambutan yang menggalakkan di Kota Samarahan dan Miri.
Larian itu menawarkan dua kategori iaitu 5KM dan 8KM, selain pakej keluarga khas bagi kategori 5KM untuk empat peserta dalam satu pendaftaran.
Peserta turut berpeluang menerima jersi rasmi, medal penamat, beg cenderamata dan pelbagai barangan menarik. Lebih mengujakan, sebanyak 50 hadiah cabutan bertuah turut menanti peserta, selain kehadiran artis drama, personaliti Media Prima dan selebriti jemputan.
Dengan purata kehadiran lebih 300,000 pengunjung bagi setiap lokasi, Karnival Jom Heboh terus menjadi platform yang menggabungkan hiburan, gaya hidup sihat dan aktiviti kemasyarakatan dalam suasana mesra keluarga.
Pengunjung boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai Karnival Jom Heboh 2026 menerusi laman web rasmi www.jomheboh.com.my atau mengikuti akaun Facebook dan Instagram @jomhebohofficial untuk mengetahui perkembangan terkini acara tersebut.








