berita

‘Kau Jahat! Kau Bunuh Anak Aku’ – 2 Beradik Ditikam 30 Kali Oleh Pengasuh, Ibu Mengamuk Di Mahkamah

June 25th, 2021 | by Iera Zahirah
Kini Trending

Foto kredit : The Washington Post

Siapa sangka, ibu bapa yang meninggalkan anak-anaknya dengan pengasuh akhirnya bertukar menjadi satu tragedi ngeri apabila pengasuh terbabit, Yoselyn Ortega di New York didakwa membunuh dua kanak-kanak yang berusia enam dan dua tahun dengan kejam.

Kanak-kanak berkenaan dikenali sebagai Lucia Krim dan adik lelakinya, Leo dijumpai di dalam tandas dengan keadaan yang menyayat hati.

Bergegas ke rumah pengasuh untuk mencari anak perempuannya

Foto kredit : Daily Star

Memetik laporan Daily Star, kejadian ngeri yang menimpa kedua beradik ini berlaku pada 25 Oktober 2012 yang lalu. Ketika kejadian, ibu mangsa iaitu Marina Krim berada di luar untuk menghantar anak perempuannya, Nessie yang berusia 3 tahun ke kelas renang. Manakala Lucia dan Leo berada di bawah penjagaan Ortega.

Menurut sumber, jika diikutkan pada hari kejadian, Ortega ditugaskan untuk menghantar Lucia ke kelas tarian. Tetapi apa yang mengejutkan apabila Marina tiba di kelas tarian untuk menjemput Lucia, dia mendapati anak perempuannya itu tidak hadir ke kelas berkenaan.

Marina yang bimbang sesuatu perkara buruk terjadi bergegas ke rumah untuk mencari Lucia. Setibanya di rumah, dia melihat keadaan di dalam rumah itu sangat gelap dan hanya di bahagian tandas sahaja bercahaya. Dia kemudian memasuki tandas tersebut dan alangkah terkejutnya apabila melihat kedua-dua anaknya berlumuran darah berada di dalam tandas berkenaan. Bukan itu sahaja, dia turut temui Ortega dalam keadaan tidak sedarkan diri sambil di tangannya memegang sebilah pisau.

Dua beradik dibunuh dengan kejam

Foto kredit : The Sun

Difahamkan, Ortega cuba untuk membunuh diri dengan cara menikam lehernya dan mengelar tangannya. Berikutan daripada itu, mereka segera menghubungi pihak polis melaporkan tentang kejadian yang menimpa Lucia dan Leo. Kanak-kanak perempuan yang berusia enam tahun itu didakwa telah ditikam sebanyak 30 kali dan adik lelakinya telah ditikam enam kali.

Pemeriksa perubatan, Dr. Susan Ely memberitahu bahawa dua beradik itu tidak meninggal serta-merta dalam kejadian berkenaan. Jelasnya lagi, kecederaan yang berada pada lengan mangsa kanak-kanak perempuan itu menunjukkan bahawa mangsa telah cuba untuk melawan tetapi tidak berjaya. Ahli patologi mengatakan bahawa Leo telah ditikam berkali-kali sehingga tiada darah yang tersisa di dalam badannya lagi.

Suspek dakwa dirinya ‘disentuh syaitan’

Foto kredit : Daily Star

Suspek kemudiannya dihadapkan ke mahkamah dan tidak mengaku bersalah atas pertuduhan pembunuhan dengan alasan gila. Malah dalam perbicaraan sebelum ini juga, dia mendakwa dirinya berada dalam keadaan tidak sedar dan berhalusinasi ketika melakukan pembunuhan itu.

Tidak terhenti di situ, suspek mendakwa dirinya telah ‘dirasuk syaitan’ sehingga terpaksa melakukan jenayah berkenaan. Tetapi pihak pendakwa raya menafikan kenyataan itu dan percaya Ortega sebenarnya sedar akan perbuatan tersebut dan dia sengaja berbuat demikian kerana cemburu dan benci kepada Marina Krim.

Semasa di mahkamah juga, ibu mangsa yang tidak dapat menahan marah seakan ‘mengamuk’ dan menjerit  kepada Ortega ‘Kau jahat! Kau bunuh anak-anak aku’. Difahamkan, Ortega didapati bersalah dan dihukum penjara seumur hidup tanpa parol.

Sumber : Daily Star , The Washington Post , The Sun

SKIP THIS AD ×