berita

Kawan-Kawan Naik Basikal, Budak 11 Tahun ‘Show Off’ Pandu Kereta

June 12th, 2023 | by Shahira
Kini Trending

Sejak kebelakangan ini, ramai remaja bawah umur terutamanya kanak-kanak yang masih di bangku sekolah rendah selamba memandu kereta meskipun tahu perbuatan itu adalah salah disisi undang-undang.

Budak bawah umur pandu kereta

Baru-baru ini, tular video di media sosial memaparkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun memandu kereta dalam satu kejadian dipercayai berlaku di Kampung Pendamar, Klang, Selangor. Difahamkan, video tersebut dirakam oleh salah seorang rakan kanak-kanak tersebut sebelum rakaman tersebut tular di media sosial.

Menerusi rakaman berdurasi lebih satu minit itu, kanak-kanak berkenaan dilihat memandu kereta jenis Proton Saga berwarna silver menuju ke sebuah simpang di mana rakan-rakannya sedang menunggu di situ.

Susulan daripada video tular itu, kanak-kanak terbabit bersama bapanya yang juga pemilik kereta tersebut telah ditahan untuk memberi keterangan. Menurut Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong, kes disiasat di bawah Seksyen 39(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu di bawah umur dan Seksyen 111 akta sama iaitu bersubahat atau membenarkan melakukan kesalahan.

Siasatan juga dijalankan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa maksud melakukan perbuatan pengabaian atau mendedahkan kanak-kanak secara cuai dengan cara yang mungkin akan menyebabkan mengalami kecederaan fizikal atau emosi.

Sumber: Facebook, Sinar Harian

SKIP THIS AD ×