Umum mengetahui, aktres Hollywood kelahiran Malaysia, Tan Sri Michelle Yeoh, 61, dinobatkan Pelakon Wanita Terbaik, di Anugerah Academy atau Oscar bagi edisi Ke-95.
Menerusi laporan Harian Metro, ibu kepada Michelle Yeoh iaitu Janet, 84 berkata dia sentiasa ada di belakang anaknya untuk memberikan sokongan tanpa jemu.
Hadiah bermakna buat keluarga
Dia seorang yang bekerja keras, rajin dan sangat berusaha. Saya amat berbangga dengan kejayaannya. Saya anggap kejayaan Michelle menang Oscar itu, hadiah sempena hari jadi saya yang akan dirai pada bulan depan. Ditambah, dia (Michelle) juga akan balik ke Malaysia untuk kami meraikannya bersama-sama nanti.
Saya tak sabar menanti kepulangannya. Apapun, saya sangat berterima kasih kepada semua yang menyokong perjuangan karier lakonan Michelle selama ini. Kemenangan sangat bermakna yang ditunggu-tunggu oleh kami semua.
Menurut Janet, kejayaan yang diraih oleh anaknya itu bukan sahaja mengharumkan nama keluarga bahkan nama Malaysia juga.
Terdahulu, detik bersejarah Michelle itu turut diraikan ibunya, keluarga, saudara terdekat serta tetamu jemputan istimewa pada acara Tontonan Eksklusif Oscar 2023 – Kebanggaan Malaysia di Dadi Cinema, Pavilion Kuala Lumpur, di sini.
Michelle yang lahir di Ipoh, Perak, dinobatkan Pelakon Wanita Terbaik Oscar menerusi lakonan hebatnya sebagai watak Evelyn Quan Wang dalam filem Everything Everywhere All At Once arahan Daniel Kwan dan Daniel Scheinert.
Kemenangan itu menjadikan Michelle pelakon wanita pertama dari Asia memenangi trofi berprestij Oscar yang disiarkan secara langsung dari Dolby Theatre, Los Angeles, Amerika Syarikat.
Sumber: Harian Metro