
Anak kepada Allahyarham Tan Sri Ahmad Nawab, Nasir Khan meluahkan rasa kecewa terhadap kenyataan penyanyi era 70-an, Uji Rashid yang didakwa mengeluarkan cerita tidak benar menerusi sebuah podcast, baru-baru ini.
Artikel Berkaitan: Uji Rashid Lama Menyepi Sebab Jaga Cico Harahap – ‘Dia Memerlukan Ibunya’
Cerita tidak benar

Nasir berkata, dakwaan yang dibuat itu bukan sahaja tidak tepat, malah telah mengguris hati seluruh ahli keluarga mereka.
Sebagai keluarga, kami memang terasa dengan apa yang diperkatakan. Sepatutnya perkara seperti itu tidak berlaku kerana ia tidak benar.
Orang akan lebih hormat jika bercakap perkara yang betul. Saya sendiri tidak faham kenapa perlu mereka-reka cerita seperti itu.
Nasir berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Buku Sentuhan Emas Lagu-Lagu Terbitan Allahyarham Tan Sri Dr Ahmad Nawab di ibu kota, baru-baru ini.
Mengulas mengenai dakwaan dibuat Uji itu, Nasir menegaskan kenyataan tersebut tidak wajar dikeluarkan kerana boleh mencetuskan persepsi negatif terhadap insan yang sudah tiada.
Tindakan itu seolah-olah membuka aib orang yang telah meninggal dunia. Bukan sahaja bapa saya, malah nama beberapa artis lain seperti Allahyarham Datuk Sharifah Aini dan Broery Marantika turut disebut.
Bagaimana hendak memperbetulkan keadaan sedangkan mereka semua sudah tiada untuk menjawab? Jadi janganlah bercakap perkara yang tidak benar.
Jasa arwah

Tambah Nasir, dakwaan tersebut secara tidak langsung boleh menjejaskan reputasi Allahyarham yang selama ini dikenali sebagai individu banyak berjasa dalam industri muzik tempatan.
Ramai tahu arwah banyak membantu menaikkan nama penyanyi termasuk dia sendiri. Antara lagu yang memberi impak besar adalah Kali Terakhir Ku Lihat Wajahmu. Ada kisah di sebalik lagu itu, tetapi apa yang diceritakan sudah diputarbelitkan.
Pihak podcast ada jemput saya untuk beri penjelasan balas, tetapi saya tolak. Saya tidak nampak keperluan untuk memanjangkan isu ini. Bagi saya, tiada manfaat untuk terus membesar-besarkan perkara ini.
Saya cuma harap isu ini tidak diperbesarkan lagi. Biarlah ia diselesaikan secara baik tanpa menimbulkan lebih banyak salah faham.
Sebelum ini, Uji berkongsi pengalaman bekerjasama dengan beberapa figura besar industri muzik tanah air dalam sebuah podcast, termasuk Allahyarham Ahmad Nawab.
Dalam perkongsian itu, Uji mendakwa komposer legenda berkenaan pernah menyifatkan dirinya sebagai penyanyi yang tidak mengenang budi, sekali gus memberi gambaran hubungan mereka tidak begitu baik.








