berita

‘Keluarga Ini Boleh Membimbing Saya & Anak-Anak’- Giliran Madu Wanita Ini Kongsi Kisah Manisnya Berpoligami!

July 22nd, 2019 | by Amirul Asraf
Kini Trending

Jika sebelum ini seorang wanita yang dikenali sebagai Khazatul Atiqah, kongsi kisah dia melamar madunya dan menerima kehidupan berpoligami. Kini giliran madunya pula, Nur Fathonah, kongsi cerita bagaimana dirinya bersetuju menerima lamaran tersebut.

Tidak pernah sangka

Sekadar gambar hiasan

Bismillahirahmanirrahim. Ya Allah terima kasih Ya Allah. Untuk segala nikmat yang diberikan. Tak pernah saya sangka untuk hidup dalam keluarga yang berpoligami. Sesungguhnya tidak pernah terlintas pun dalam diri saya untuk berpoligami. Setelah saya berpisah dengan bekas suami, saya telah bertekad untuk tidak berkahwin lagi apatah lagi akan menerima suami orang. Semenjak dari itu, kehidupan saya hanyalah untuk saya dan anak-anak saya sahaja.

Saya bertungkus lumus siang dan malam demi untuk mencukupkan keperluan kehidupan. Walaupun begitu, di mata masyarakat, saya masih isteri orang dan saya sedaya upaya cuba menutup status sebenar saya sebagai ibu tunggal. Ini kerana, bagi saya, saya tidak mahu orang mengambil kesempatan dan saya dipandang rendah dan hina. Sememangnya ramai yang tidak tahu dan hanya segelintir keluarga yang betul-betul rapat sahaja yang tahu. Bagi saya, sebagai ibu tunggal, kita tidak patut minta belas ihsan daripada orang lain selagi kita boleh berusaha dengan kudrat yang diberikan.

Bertemu dengan seseorang yang mengubah segalanya

Keadaan sebegini berterusan hampir dua tahun sehinggalah, suatu hari Allah takdirkan saya bertemu dengan seseorang yang mengubah segalanya…saya dijemput oleh kakak madu saya sebagai seorang pelawat yang ketika itu saya kenali sebagai seorang kawan ke perjumpaan usahawan BNI. Program ini memerlukan komitmen seawal 6.30am dan disitulah saya diajak oleh kakak madu saya untuk menyertainya. Mengenangkan komitmen untuk menguruskan persekolahan anak-anak diawal pagi saya menolak pelawaan tersebut. Oleh kerana itu kakak madu saya mencadangkan untuk saya berbincang dengan suami tentang pengurusan tersebut.

Saya rasa serba salah dan berat hati menolak sedangkan kakak madu saya bersungguh-sungguh mengajak saya kerana ingin saya maju dalam perniagaan saya. Melihat kesungguhannya dan setelah diasak berkali-kali saya akhirnya membuka cerita sebenar bahawa saya adalah ibu tunggal. Kakak madu saya terkejut lalu memeluk saya dan mengajak saya menjadi madunya. Saya terkejut dan menganggap itu hanyalah gurauan. Saya menerangkan padanya yang saya bukan meminta simpati malah saya ingin menerangkan keadaan sebenar kedudukan saya. Saya balik dalam keadaan menyesal kerana membuka cerita mengenai status sebenar saya kepadanya.

Adakah saya masih available

Sekadar gambar hiasan

Kakak madu saya ada cuba menghubungi saya namun saya banyak mengelak hinggalah tibanya bulan Ramadan pada tahun ini, saya menerima mesej dari kakak madu saya dan bertanya khabar. Kakak madu kemudiannya bertanya adakah saya masih available dan mengajak berjumpa. Saya berat hati dan berbelah bagi namun rasa bersalah kerana banyak kali menolak dan mengelak darinya sedangkan kakak madu seorang yang sangat baik orangnya.

Pertemuan dengannya merupakan satu titik tolak dalam hidup saya. kata-katanya yang saya anggap gurauan pada mulanya rupanya dianggap serius dan kakak madu saya sangat bersungguh-sungguh bercerita tentang impian kehidupan poligami di sudut kaca matanya. Dia kemudiannya melamar saya menjadi madunya dan mengatakan firasat hatinya sangat kuat mengatakan mungkin saya orang yang dia cari. Pada masa itu, saya seperti memahami impiannya namun saya lebih kasihankan dia kerana bersungguh-sungguh sedangkan saya tidak mempunyai apa-apa perasaan di waktu itu. Saya cuba memberi peluang untuk meraikan kesungguhannya dan memberitahunya saya akan fikirkan tentang perkara itu.

Betapa indahnya keluarga yang dia miliki

Saya diajak berbuka puasa bersama-sama dengan anak-anak dan keluarga kakak madu saya. Di situ, saya mula nampak betapa indahnya keluarga yang dia miliki. Dan saya dapat lihat wajah anak-anak saya, betapa gembiranya mereka bila dapat bersama-sama dengan anak kakak madu saya. Kami kemudiannya lebih berhubung rapat melalui whatsapp. Kakak madu saya sememangnya sangat mengambil berat tentang saya dan anak-anak. Kami menjadi semakin rapat dan kerap berhubung. Saat ini merupakan proses perkenalan saya dengan lebih dekat lagi terhadap keluarga kakak madu saya.

Walaupun berhubungan jauh dan hanya melalui WhatsApp, kami sentiasa rasa lebih dekat kerana dia sememangnya sangat mengambil berat, selalu mengingatkan tentang ibadah dan saya terasa dijaga walaupun jauh. Sejujurnya, saya tak pernah merasa diambil berat mengenai ibadah Saya dan Dia juga sentiasa mengingatkan saya selalu. Semua pesanan-pesanan disampaikan oleh bakal suami melalui perantara kakak madu. Saya mula nampak keluarga ini boleh membimbing saya dan anak-anak saya, dari situ saya mula sedar betapa hakikatnya perempuan sebenar nya memerlukan seorang pemimpin. Walaupun sebelum ni saya pernah merasa saya tidak perlu lelaki dalam hidup saya tapi rupanya saya silap. Allah menciptakan lelaki itu boleh memimpin Dan perempuan perlu dipimpin.

Allah datangkan mereka untuk saya dan anak-anak

Sekadar gambar hiasan

Alhamdulillah setelah beberapa Kali saya memohon petunjuk dari Allah. Saya makin yakin bahawa Allah sememangnya datangkan mereka untuk saya dan anak-anak. Walaupun banyak rintangan yang kami hadapi saat mula-mula proses perkenalan dan sebelum persetujuan, namun sepanjang itu juga Allah sentiasa pegang hati-hati kami untuk bersama dan kuatkan hati kami. Akhirnya, saya terima lamaran kakak madu saya dengan hati terbuka. Allah membuka mata saya bahawa hidup berpoligami ini sangat indah sebenarnya.

Semua kita dapat buat bersama, saling bantu membantu dan lengkap melengkapi, bersama memberi yang terbaik untuk suami, bersama menjaga solat berjemaah bersama, menjaga dan mendidik anak sama-sama, masak bersama, kemas rumah bersama dan banyak lagi manfaatnya. Alhamdulillah anak-anak saya juga lebih gembira bersama adik-beradik baru mereka.

Pendek kata, terlalu banyak nikmat yang Allah kurniakan buat saya. Mungkin ada segelintir yang cakap, masih baru lagi jadi semuanya nampak indah tapi bagi saya bila kita buat betul-betul kerana Allah dan kita nampak matlamat kita yang mahukan keselamatan di dunia dan terutamanya di Akhirat, InshaAllah Allah pasti bantu kita dari semua sudut. Mohon doakan saya dan anak-anak bersama keluarga baru saya bahagia dan selamat dunia akhirat. Terima kasih pada semua yang menyokong saya dan menerima dengan positif. Yang baik baik semua nya datang dari pada Allah, yang kekurangan itu datang dari diri saya sendiri.

Sumber: Nur Fathonah

The following two tabs change content below.

Amirul Asraf

Senior Content Champion at Rev Media Group
I became a writer to come as close as possible to the heart of the world.

SKIP THIS AD ×