Seorang pemandu lori tangki didakwa di Mahkamah Majistret Temerloh pada Selasa atas dua pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian dua beranak dalam kejadian pada Jumaat lalu.

Artikel Berkaitan: [VIDEO] Isteri Anggota FRU Reda, Tidak Salahkan Pemandu Lori – ‘Arwah Pernah Impi Kematian Yang Didoakan Orang Ramai’

Mengaku tak bersalah

Nor Azlan Mahayudin, 37, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Anis Adlina Abu Johan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memandu lori tangki secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian Nur Fatima Syuhada Abdullah, 39, dan anaknya, Muhamad Fattah Aisy Nuafal Saifulnizam, 12, di Kilometer 9, Jalan Temerloh-Triang kira-kira jam 4 petang pada 14 Ogos lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 10 tahun serta denda antara RM20,000 hingga RM50,000 jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 1 Oktober depan untuk sebutan semula kes. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Amal Razim Alias, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Mazieera Sharifudin.

Dalam kejadian 14 Ogos lalu, Nur Fatima Syuhada dan anaknya maut selepas kereta yang dinaiki mereka dihempap lori tangki membawa 32,000 liter bahan api.

Sumber: Buletin Utama