Patik menjunjung kasih. Itu antara ungkapan penuh hormat daripada Menteri Komunikasi, YB Fahmi Fadzil, selepas menghadap KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim di Istana Negara baru-baru ini.
Dalam pertemuan tersebut, Seri Paduka Baginda menitahkan betapa pentingnya usaha membendung budaya buli sejak di bangku sekolah lagi. Titah baginda jelas… buli bukan sekadar gurauan kasar, tetapi satu budaya berbahaya yang mampu:
- Merosakkan emosi dan mental mangsa,
- Melemahkan semangat generasi muda,
- Dan akhirnya melahirkan kelompok yang hilang nilai hormat serta kasih sayang sesama insan.
Kementerian Komunikasi komited bendung budaya buli
Bagi menyahut titah baginda, Kementerian Komunikasi menegaskan bahawa mereka akan memberikan komitmen penuh melalui tiga gerakan utama:
- Kempen Kesedaran Nasional Antibuli (Melalui televisyen, radio, media sosial dan platform digital supaya mesej sampai kepada semua lapisan masyarakat)
- Tindakan rentas kementerian (Memastikan mesej antibuli ini benar-benar sampai ke murid, pelajar, ibu bapa dan komuniti secara bersepadu)
- Pengarusperdanaan nilai hormat, disiplin dan kasih sayang (diterapkan dalam komunikasi strategik kerajaan serta program masyarakat agar jadi amalan harian)
Selari dengan komitmen Kerajaan MADANI
Titah Agong ini juga seiring dengan komitmen Kerajaan MADANI yang baru saja meluluskan pindaan Akta Kanun Keseksaan (Pindaan) 2025 dan Akta Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2025. Ia merupakan bukti kesungguhan kerajaan untuk menangani isu buli dengan lebih tegas.
Malah, kementerian turut berikrar akan memastikan mesej antibuli disampaikan dalam bentuk mudah difahami kanak-kanak dan remaja, supaya nilai hormat-menghormati dan kasih sayang dapat dipupuk sejak kecil lagi.
Seruan untuk semua: Jom sama-sama hentikan buli!
YB Fahmi turut menyeru agar ibu bapa, sekolah, komuniti dan media berganding bahu memerangi budaya buli ini. Tegas beliau:
“Hanya melalui kesepakatan menyeluruh kita mampu melahirkan generasi yang berakhlak mulia, berdisiplin dan berjiwa penyayang.”





![[VIDEO] Madammu Sebak Anak Menangis Minta Maaf Terlalu Inginkan Adik – ‘Katanya Dia Mahu Baby, Tapi Saya Yang Sakit Lalui Proses Itu’](https://asset.ohbulan.com/2026/08/madammu1.jpg)


