berita

Kementerian Pertahanan Terus Perkasakan Aset & Kebajikan Warga Kerja Dengan Inisiatif Dan Program Bermanfaat

March 15th, 2023 | by Nurul
Kini Trending

Dalam memperkasakan dan menjaga kebajikan warga kerja Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Kementerian Pertahanan di bawah Kerajaan Perpaduan telah melaksanakan inisiatif-inisiatif bermula 5 Disember 2022 sehingga 14 Mac 2023 ini.

Inisiatif Kerajaan Perpaduan ini melibatkan 3 fasa utama iaitu Jangka Pendek 100 hari (bermula 5 Disember 2022 -14 Mac 2023), Jangka Sederhana (April 2023 – Disember 2025) dan Jangka Panjang (2026 – 2030).

Untuk pengetahuan semua, penyediaan inisiatif Kerajaan Perpaduan Kementerian Pertahanan berasaskan kepada tiga (3) dokumen iaitu Pelan Strategik MINDEF (PSM) 2021-2025, Outcome Based Budgeting (OBB) MINDEF dan Konsep MALAYSIA MADANI: Kemampanan; Kesejahteraan; Daya Cipta; Hormat; Keyakinan; Insan yang memfokuskan kepada empat (4) teras utama iaitu:

  • Membina semula ekonomi
  • Menjamin kesejahteraan insan
  • Reformasi institusi demokrasi dan perundangan
  • Mewujudkan pentadbiran beramanah

Dalam pada itu, inisiatif-inisiatif ini juga telah digariskan di bawah Teras Menjamin Kesejahteraan Insan dengan 3 KPI dan 3 Strategi serta 8 Program atau Inisiatif seperti berikut:

Program/Inisiatif 1: Menyalurkan bantuan kepada Veteran ATM – Bantuan Sara Hidup (BSH)

Bagi inisiatif pertama, Strategi Meningkatkan Tahap Kehidupan dan Menjaga Kebajikan Veteran ATM, MINDEF memberi tumpuan terhadap objektif mengurangkan beban kewangan melalui pemberian Bantuan Sara Hidup (BSH) kepada semua veteran atau tanggungan yang layak.

Inisiatif ini juga adalah sebagai penambahbaikan dalam menjaga kebajikan Veteran ATM terutamanya dari kalangan B40 agar sentiasa terbela dan dapat meringankan beban sara hidup.

Program/Inisiatif 2: Meluluskan Permohonan Baikpulih Rumah Untuk Veteran ATM

Program Inisiatif Perumahan Veteran ATM mula dilaksanakan pada tahun 2021 sebagai suatu usaha berterusan JHEV ATM untuk menambah baik bantuan-bantuan kebajikan sedia ada.

Inisiatif ini melibatkan program baik pulih rumah veteran sedia ada atau membina baharu rumah untuk veteran dan dilaksanakan dengan kerjasama Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).

Bagi tahun 2022, sebanyak 152 buah rumah berjaya dibaik pulih manakala sebanyak 31 buah rumah dibina baharu. Manakala bagi tahun 2023, sebanyak RM5.74 juta di bawah inisiatif ini telah diperuntukkan.

Program/Inisiatif 3: Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia (PJM) Kepada Veteran ATM

Penganugerahan pingat ini merupakan satu penghargaan oleh kerajaan atas jasa keperwiraan, keberanian dan khidmat bakti yang telah dicurahkan semasa darurat kedua di dalam operasi menentang pengganas komunis.

Sehingga 15 Mac 2023, seramai 1,477 veteran telah menerima penganugerahan pingat ini iaitu melebihi sasaran asal seramai 777 orang penerima.

Program/Inisiatif 4: Majlis Pelancaran Insentif Pendidikan dalam bentuk Sijil SSPN kepada anak-anak Veteran ATM

JHEV ATM dgn kerjasama YVATM telah memperkenalkan Program Insentif Pendidikan Kelahiran Baharu Anak-anak Veteran ATM yang merupakan satu skim simpanan pendidikan jangka panjang untuk anak-anak Veteran ATM bertujuan untuk mengurangkan bebanan kewangan apabila melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi kelak. Insentif ini terbuka kepada 1000 orang anak-anak kelahiran baru Veteran ATM.

Bagi tahun 2023, Kementerian telah mensasarkan satu kerjasama strategik bersama PTPTN termeterai sebelum bulan Mac 2023. Sasaran ini telah dicapai melalui satu majlis menandatangani perjanjian persefahaman antara YVATM dan PTPTN pada 12 Januari 2023. Selain itu, YVATM setakat ini telah mengenal pasti seramai 405 orang anak veteran yg layak untuk ditawarkan insentif ini.

Program/Inisiatif 5: Peningkatan Kesiagaan dan Keupayaan Pertahanan Dalam Melindungi Kepentingan Negara Melalui Perolehan Aset Strategik ATM

Tentera Darat Malaysia

Sebanyak 9 buah Kenderaan Perisai 8×8 Gempita bagi kelompok yang terakhir telah diterima menjadikan jumlah keseluruhan yang diterima adalah 259 unit. Kenderaan perisai pelbagai fungsi ini dibangunkan melalui Syarikat Deftech Sdn Bhd dalam pelbagai varian mengikut fungsi dan persenjataan yang berbeza.

Selain itu, bagi meningkatkan keberkesanan komunikasi di dalam tugas operasi, TDM telah menerima sebanyak 1000 unit VHF Section Set bagi kegunaan pasukan yang melaksanakan operasi.

Peralatan ini merupakan set radio taktikal bagi kegunaan sebuah seksyen infantri yang dibekalkan melalui syarikat Mindmatics Sdn Bhd menggunakan teknologi terkini dari Amerika Syarikat.

Tentera Laut Diraja Malaysia

OP PERKASA adalah Inisiatif terkini hasil cetusan idea warga Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di mana kapal (KD PERKASA) dilaksanakan re-hull yang in-lieu kepada rutin refit termasuk penukaran sepenuhnya sistem kuasa gerak, kuasa elektrik serta hotel services, selain turut merangkumi sistem-sistem bersangkutan.

Program yang dilaksanakan oleh limbungan tempatan iaitu Geliga Slipway Sdn Bhd di Kemaman, Terengganu ini sudah menghampiri peringkat akhir untuk ujian di laut dan kapal dirancang siap pada pertengahan bulan Mac 2023.

Tentera Udara Diraja Malaysia

1. LPM12Y F/A-18D HORNET

Bagi mengekalkan kesiagaan semasa aset pesawat pejuang dan meningkatkan jangka hayat pesawat serta kompetensi Juruteknik serta memperkasakan inisiatif bersama Industri Pertahanan Tempatan, Program Local Plan Maintenance 12 Years (LPM12Y) pesawat F/A-18D Hornet Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang diprogramkan oleh United States Navy dengan senggaraan  setiap 12 tahun pesawat beroperasi telah dilaksanakan.

Program ini dilaksanakan di dalam negara dengan Kerjasama syarikat RUAG Switzerland, RUAC Australia dan Industri Tempatan, G7 Global Aerospace.

2. RETROFIT A400M

Perolehan empat buah pesawat angkut Airbus A400M TUDM telah diterima secara berperingkat mulai dari tahun 2015 (dua buah pesawat), 2016 (pesawat ketiga) dan 2017 (pesawat keempat).

Sejak beroperasi dari tahun 2015, dua pesawat A400M kini telah selesai menjalani program retrofit untuk meningkatkan keupayaan pesawat dari spesifikasi penerimaan awal ke konfigurasi New Standard Operating Clearance 2.5 (NSOC 2.5).

Program/Inisiatif 6: Pembangunan Pos Kawalan Sempadan bagi Menangani Jenayah Rentas Sempadan

Semenjak 5 Disember 2023, sebanyak tiga buah pos kawalan di sempadan telah berjaya disiapkan. Dua pos merupakan Pos Sempadan Terkoordinasi di sempadan Malaysia dan Thailand iaitu Pos Batu 34 dan Pos Batu 36 di Padang Terap, Kedah.

Manakala satu pos lagi adalah Pos Tapak Megah yang terletak di Bahagian Kapit, Sarawak iaitu di sempadan Malaysia-Kalimantan. Pembinaan pos-pos ini bertujuan untuk membendung aktiviti jenayah rentas sempadan serta mengawal persempadanan negara dari aktiviti yang boleh menjejaskan keselamatan negara.

Program 7: Meningkatkan Tahap Keupayaan Industri Pertahanan Tempatan Melalui Sesi Ramah Mesra Bersama Pemain Industri Pertahanan Negara

Satu sesi ramah mesra bersama pemain industri pertahanan telah dilaksanakan pada 6 Mac 2023 bertujuan sebagai tanda penghargaan kepada pemain industri selaku komponen penting pertahanan negara.

Pada sesi ini, Menteri Pertahanan mengambil kesempatan untuk beramah mesra bersama 60 orang wakil pemain industri tempatan serta menyampaikan beberapa mesej penting berkaitan inisiatif Kementerian Pertahanan yang sedang berlangsung bagi merancakkan pertumbuhan industri seperti penubuhan Malaysian Industry Council for Defence, Enforcement and Security (MIDES), Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (STRIDE) dan Dasar Industri Pertahanan dan Keselamatan Negara (DIPKN).

Program 8: Mempromosikan Langkawi International Maritime and Aerospace Exhibition 2023 (LIMA ‘23): Pelancaran LIMA 2023

Acara LIMA 2023 (Langkawi International Maritime and Aerospace) atau Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 merupakan pameran maritim dan aeroangkasa terkemuka di rantau Asia Pasifik.

Pada 16 Januari 2023 bertempat di MITEC, Kuala Lumpur, telah disempurnakan Majlis Pelancaran LIMA 2023 oleh Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Utama Mohamad Hasan; Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook dan Pengerusi Alpine Integrated Solution, Tan Sri Mohd Khairul Adib.

SKIP THIS AD ×