Pelakon dan penyanyi, Sufian Suhaimi memberitahu dia lebih memilih untuk membuat persiapan selain pulang ke kampung lebih awal sempena hari raya Aidilfitri pada tahun ini.
‘Persiapan lebih teratur’
Sufian Suhaimi ketika ditemui OhBulan! di majlis berbuka puasa label rakaman Rusa dan MVM di Aloft Kuala Lumpur Sentral baru-baru ini memberitahu, dia pulang ke kampungnya di Muar, Johor pada 19 April dan akan bercuti raya selama lima hingga enam hari. Tambah pelantun lagu Terakhir ini, dia memilih untuk pulang lebih awal kerana mahu elak daripada kesesakan lalu lintas.
Persiapan lebih teratur sebab kita dah bersedia dengan kemungkinan beraya sehari lebih awal. Tak nak macam tahun lepas lagi, agak terkejut. Tahun ni persiapan raya daripada semua lah termasuk kemas rumah, baju raya semuanya teratur dan tak sabar sebenarnya sebab ada ahli baharu (sepupu yang baru berkahwin).
Itu juga rumah arwah atuk dan nenek, walaupun mereka dah tak ada tapi rumah tu masih jadi tempat berkumpul. Kemeriahan tu masih ada cumanya bila arwah dah tak ada, cuma berbeza. Mungkin nilai sentimental tu lah kot. Bagi saya, atuk dan nenek adalah pengikat kasih sayang kekeluargaan. Bila ada atuk dan nenek, hubungan antara keluarga tu rapat. Bila dah tak ada ni, bukan tak rapat cuma dah jadi tak ada sebab utama balik kampung tapi kami masih berkumpul.
Bercerita kembali kenangan raya ‘terkejut’ pada tahun lalu, Sufian memberitahu ketika pengumuman raya, mereka sekeluarga sedang bersiap-siap untuk menunaikan solat tarawih di masjid.
Masa tu baju semua dah siap cuma dari segi juadah tu tak sempat siap lah. Sebab perancangannya lepas hari terakhir puasa tu baru nak sediakan juadah raya. Sebab biasanya rumah di Muar tu akan jadi tempat saudara-mara berkumpul. Masa dah umumkan raya tu, masing-masing dah ada tugas masing-masing.
Sufian Suhaimi telah melancarkan lagu raya berjudul ‘Pasti Raya’ bersama pasangan duetnya, Sarah Suhairi pada 7 April 2023 lalu. Lagu ini merupakan hasil ciptaan oleh Rudy Nastia, Hafiz Karim, Akiff Mohammad, Ku Yen dan dikeluarkan oleh Rusa Music Sdn Bhd.