berita

Kenali 3 Wira Tidak Didendang Dalam Industri Pengangkutan yang Bertungkus-lumus Untuk Memastikan Segalanya Berjalan Lancar

August 31st, 2023 | by Nurul
Kini Trending

Bila terfikir tentang hero yang tak didendang, mesti akan teringat frontliners, sukarelawan dan riders tetapi ramai lagi sebenarnya wira dalam industri lain yang menyumbang kepada negara kita dengan bekerja keras dan tanpa jemu di belakang tabir. 

Dalam kita menjalani kehidupan seharian dan ketika kita masih lena dibuai mimpi, mereka ini berjaga sepanjang malam, bekerja keras untuk memastikan semuanya berjalan lancar pada siang hari.

Sebagai contoh, mereka yang bekerja dalam industri pengangkutan yang mula bekerja pada waktu pagi untuk memastikan semua kereta api dan bas sesuai untuk beroperasi.

Sempena Hari Kebangsaan ini, Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) ingin mengetengahkan insan-insan yang kurang dihargai ini dengan menampilkan tiga wira yang tidak didendang dalam sektor penerbangan, logistik dan pengangkutan dalam video Wira Yang Tak Didendang. 

Jom lihat video penuh di bawah:

Iman Najwa Hazimi yang bekerja sebagai pengendali kargo dalam industri logistik, memastikan semua penghantaran dihantar dengan selamat dan tepat pada masanya 

Tugas harian Iman termasuklah memuat dan memunggah kontena perkapalan, yang memerlukan fokus dan sifat berhati-hati yang tinggi, kerana kontena ini mengandungi kargo berharga, dan boleh menelan kos sehingga ribuan ringgit.

“Sebarang kesilapan atau kecuaian boleh mengakibatkan kemalangan, yang boleh merosakkan harta benda pelanggan, dan mengakibatkan kerugian. Saya menggunakan kren gantri tayar getah (RTG) setinggi 21 meter, jadi jarak penglihatan kami kadang-kadang boleh terhalang, ” kongsi Iman.

Bagaimanapun, cabaran terbesar yang dihadapi Iman, adalah bekerja dalam industri yang didominasi lelaki.

“Ramai rakan sekerja lelaki saya memandang rendah kebolehan saya. Tetapi saya telah memutuskan untuk melihat perkara ini secara positif dengan mencabar diri sendiri untuk membuktikan kepada mereka bahawa wanita pun boleh bekerja dalam bidang ini,” katanya.

Sementara itu, pengawal trafik udara, Nurasyikin Mohd Nur memainkan peranan penting dalam memastikan semua kapal terbang dan penumpang mendarat dan berlepas dengan selamat

Nurasyikin telah bekerja di menara kawalan di KLIA Malaysia selama lebih sembilan tahun.

“Saya bertanggungjawab berkomunikasi dengan juruterbang bagi memastikan mereka dapat mendarat dengan selamat,” kata Nurasyikin.

Salah satu cabaran terbesar yang dihadapinya ialah apabila pesawat udara mengalami masalah teknikal dan memerlukannya mengawasi keadaan serta membuat keputusan penting dalam tempoh yang singkat.

“Saya masih ingat ada satu kejadian apabila sebuah pesawat kargo memaklumkan kepada kami bahawa terdapat asap di dalam kabin. Tugas saya sebagai pengawal trafik udara pada masa itu adalah untuk memperkemas semua komunikasi dengan memberi amaran kepada petugas barisan hadapan, seperti anggota bomba dan ambulans, serta menghentikan pesawat lain daripada mendarat atau berlepas sehingga semuanya terkawal,” katanya.

Saharudin Nur Zaharin, 35, seorang juruteknik ETS yang telah berkhidmat dengan Malayan Railways Limited (KTMB) selama 12 tahun 

Berpusat di Depoh ETS Batu Gajah di Perak, Saharuddin menyelenggara semua tren ETS sebelum ia mula beroperasi.

“Tugas saya termasuklah memeriksa tren, mencari bahagian yang rosak, dan membetulkan sebarang masalah sebelum perjalanan tren dimulakan,” kata Saharuddin.

Walaupun Saharudin menyukai segala-galanya tentang pekerjaannya, dia berkongsi bahawa ia kadang-kadang berisiko tinggi, kerana dia perlu berurusan secara langsung dengan sumber kuasa luaran kereta api yang menggunakan jumlah elektrik yang tinggi.

Orang seperti Saharudinlah yang memastikan rakyat Malaysia dapat melakukan perjalanan jarak jauh dengan selamat dan selesa melalui kereta api ETS.

Saharudin, Iman, dan Nurasyikin adalah contoh wira tidak didendang yang bekerja tanpa jemu di belakang tabir untuk kesejahteraan Malaysia

Jadi jangan lupa untuk meraikan wira-wira ini pada Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia kali ini. 

Tanpa mengira bangsa, latar belakang atau peranan mereka, mereka ini adalah sebahagian daripada usaha kolektif untuk membina sebuah negara yang kuat dan berdaya tahan. 

Terima kasih wira yang tidak didendang kerana memastikan sistem pengangkutan negara kita beroperasi dengan lancar dan cekap. 

Memetik kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, “Pengorbanan mereka selalunya tidak disedari, tetapi kesannya dapat dirasai oleh seluruh masyarakat kita. Mereka berani menghadapi keadaan cuaca yang mencabar, bertahan berjam-jam, dan mengutamakan tanggungjawab mereka untuk memastikan rakyat kita boleh bergerak dengan bebas, berhubung dengan orang tersayang mereka dan menyumbang kepada kemajuan negara kita.”

Di kesempatan ini, Kementerian Pengangkutan Malaysia mengucapkan Selamat Hari Kebangsaan kepada semua rakyat Malaysia! 

SKIP THIS AD ×