Di Ipoh, seorang bayi perempuan berusia 8 bulan disahkan meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh dari katil di rumah pengasuhnya di Jalan Pasir Pinji. Menerusi Sinar Harian, bayi berkenaan dikatakan telah berada di bawah jagaan pengasuh tersebut sejak dia berusia 30 hari lagi.
Kepala dalam tong sampah
Menurut Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz, mangsa ditemui oleh pengasuh tersebut dengan keadaan tertonggeng dalam tong sampah di bilik berkenaan sebelum mangsa disahkan meninggal dunia akibat lemas.
Sekitar jam 5.30 petang, pengasuh bayi itu, seorang wanita berusia 24 tahun ada menjenguk di bilik dan dapati mangsa masih tidur dalam keadaan baik.
Bagaimanapun kali kedua menjenguk lebih kurang jam 6.15 petang didapati bayi itu telah jatuh dengan kepala berada dalam tong sampah, kejadian itu tidak disedari kerana tiada sebarang bunyi tangisan kedengaran.
Tiada unsur penderaan
Susulan itu Harian Metro turut melaporkan, sebelum kejadian bayi berkenaan telah ditinggalkan oleh pengasuh di atas katil rumah terbabit selepas ditidurkan. Pengasuh itu juga dikatakan telah meninggalkan mangsa dengan dikelilingi bantal tinggi sebagai benteng untuk mengelakkan bayi berkenaan daripada terjatuh.
Hasil daripada siasatan mendapati tiada sebarang kecederaan atau kesan penderaan pada tubuh bayi berkenaan dan mangsa dipercayai meninggal dunia akibat kelemasan dan darah terkumpul di paru-paru menyebabkan jantung tidak dapat berfungsi . Sementara itu, pihak polis telah menahan pengasuh terbabit untuk membantu dalam siasatan.
Sumber: Sinar Harian, Harian Metro