Foto: Berita Harian – AFP

Bagi mengurangkan risiko kegiatan jenayah dalam kalangan pelarian politik Rohingya, kerajaan terbuka untuk meneliti cadangan membenarkan mereka untuk bekerja.

Artikel Berkaitan: Kenapa Ramai Rohingya Datang Ke Malaysia? Public Health Malaysia Kongsi 5 Faktor Utama

Rohingya bekerja?

Foto: Malaysia Gazette

Menurut Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan, cadangan itu bagaimanapun memerlukan kajian mendalam dan akan dibincangkan bersama Sumber Manusia (Kesuma) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Pelbagai aspek perlu diambil kira terutama mengenai keselamatan negara dan dasar kerajaan. Justeru, pihak kerajaan perlu meneliti terlebih dahulu faedah dan kesan cadangan berkenaan.

Ini satu pendapat yang boleh membawa kebaikan ataupun perlu ada kajian secara mendalam.

Saya percaya perkara ini akan dibincangkan bersama dengan Kementerian Sumber Manusia dan juga Kementerian Dalam Negeri. Sebarang perkembangan kita akan maklumkan dari semasa ke semasa.

Terima kasih di atas satu cadangan yang mempunyai asas untuk kita melakukan kajian.

Khairul berkata demikian di Dewan Rakyat bagi menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Yang Berhormat Hassan Abdul Karim yang memberi cadangan supaya kerajaan mempertimbangkan kebenaran bekerja untuk pelarian politik Rohingya.

Menurut Hassan, tindakan itu dapat membantu golongan tersebut mendapatkan pendapatan, selain mengurangkan kadar jenayah dalam kalangan mereka.

Saya mencadangkan Kementerian Sumber Manusia mengemukakan perkara ini kepada Kabinet supaya pelarian Rohingya ini dibenarkan bekerja, sama ada lelaki atau perempuan, supaya mereka dapat pendapatan.

Jadi anak-anak muda mereka tidak perlulah terlibat dalam jenayah. Kita boleh mengambil contoh Jerman yang membenarkan pelarian Syria bekerja ketika krisis perang di negara itu.

Terdahulu, Persatuan Majikan memaklumkan bahawa pihaknya bersedia untuk memberi peluang pekerjaan kepada pelarian Rohingya jika dibenarkan oleh kerajaan. Peluang pekerjaan yang terbuka untuk mereka adalah di dalam sektor 3D (kotor, berbahaya dan sukar).

Sumber: Malaysia Gazette