Buat mereka yang membesar di tahun 90-an, cerpen Cikgu Suraya mungkin pernah dibaca. Cerpen berunsur lucah itu cukup popular dalam kalangan remaja ketika itu, namun impaknya terkesan sehingga kini.
Seorang wanita yang bakal bergelar guru turut terkena tempias, hanya kerana mempunyai nama Anis Suraya Mohamad Sukri.
Hanya kerana satu tweet
Anis Suraya tidak dapat menyembunyikan keterujaannya bakal bergelar guru tidak lama lagi. Dia kemudiannya memuatnaik satu tweet ‘Satu minggu lagi sebelum menjadi Cikgu Suraya’. Tweet berkenaan mendapat perhatian netizen sehingga meraih ribuan perkongsian di laman sosial itu.
Pada awalnya saya memuat naik gambar saya di Twitter dengan kapsyen ‘1 week left to become Cikgu Suraya’ kerana saya ingin berkongsi perasaan gembira bakal bergelar guru dengan kawan-kawan saya.
Tak sangka lepas tu saya dapat banyak notifikasi. Ramai lelaki yang tweet benda pelik-pelik, pasal Amir… basikal dan hujan. Saya jadi ‘blur’ dan jawab semua mesej tu elok-elok.
Tiba-tiba ada satu hari tu saya dapat DM daripada seorang lelaki yang mesej saya dengan cara yang agak kasar. Macam-macam dia cakap kat saya… dia ‘sound’ saya kata saya jadi punca dia dikecam netizen.
Disuruh padam pos
Menurut wanita ini lagi, lelaki tersebut memintanya memadamkan posnya. Namun perbualan itu terhenti di situ apabila Anis Suraya tidak membalas chat tersebut, bagaiamanapun, lelaki itu tidak putus asa dan memburukkan bakal guru ini akaunnya.
Dia suruh saya padam posting tersebut, kalau tak dia tak hormat saya sebagai cikgu. Saya sedihlah sebab saya tak post benda bukan-bukan hanya post gambar sahaja.
Saya tak balas chat dia. Saya senyap dua hari. Saya tengok ada post dia buruk-burukkan saya. Dia macam nak viralkan saya sebab nama saya Cikgu Suraya.
Saya anggap dia ni dah melampau. Sebab itulah saya buat semua mesej yang saya terima daripada dia dalam bentuk video.
Diserang migrain
Perbuatan lelaki itu sedikit sebanyak telah memberi kesan ke atas wanita ini dari segi kesihatannya. Malahan dia mempersoal kenapa dinamakan sedemikian.
Saya migrain sebab hari pertama tu saya menangis semalaman memikirkan apa kesalahan saya. Saya sampai tertanya-tanya pada diri sendiri kenapalah nama aku Suraya.
Saya dahlah tengah mengajar sekarang ni, sampai anak murid tanya Cikgu Suraya OK tak? Saya terbawa-bawa emosi, cakap kat anak murid jangan panggil saya Cikgu Surayalah.
Panggil je saya Cikgu Yaya dan anak murid saya pun tertanya-tanya. Serius gurauan itu betul-betul buat saya trauma dan sedih. Saya sampai terpaksa tenangkan diri untuk kembali fokus mengajar.
Menurut Anis lagi, dia tidak pernah tahu-menahu mengenai kewujudan cerpen panas berkenaan sehinggalah dimaklumkan oleh rakannya.
Sejujurnya saya tak pernah tahu dan tak pernah baca pun cerpen tersebut sehingga ada kawan yang beritahu saya mengenainya.
Nama saya memang Suraya takkan saya nak letak nama lain, takkan saya nak letak Cikgu Sue. Keluarga saya pun panggil saya Suraya, nak buat macam manakan.
Sumber: Mstar Online