berita

Kes 3 Remaja Ditembak Mati Oleh Polis Di Glenmarie, Keluarga Terima Ganti Rugi Lebih RM1.5 Juta

July 1st, 2021 | by Shahira
Kini Trending

Sekadar gambar hiasan

Pada 13 November 2010 yang lalu, negara Malaysia pernah dikejutkan dengan satu berita mengenai tiga orang remaja lelaki maut selepas ditembak oleh anggota polis di Glenmarie, Shah Alam.

Media melaporkan, ketika kejadian, ketiga-tiga remaja yang bersenjatakan parang itu cuba menyerang polis selepas merompak beberapa stesen petrol di Monteres dan Bukit Subang sebelum ditembak mati.

Saman keluarga ditolak

Sekadar gambar hiasan

Pada tahun 2013, keluarga ketiga-tiga mangsa iaitu Muhammad Shamil, Mohd Hairul Nizam dan Muhamad Hanafi telah memfailkan saman kepada polis dan kerajaan dengan mendakwa berlaku kecuaian, serangan dan kekerasan. Bukan itu sahaja, mereka turut mendakwa pihak polis telah melanggar hak asasi kesemua mangsa.

Pihak polis kemudian mendakwa kesemua mangsa sebenarnya disyaki merupakan anggota Geng Minyak yang dikaitkan dengan beberapa rompakan stesen minyak. Meskipun begitu, dakwaan tersebut disangkal oleh keluarga mangsa. Pada 11 Ogos 2015, Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam iaitu Rozana Ali Yusoff telah membatalkan saman tersebut dan memerintahkan plaintif membayar kos sebanyak RM20,000 kepada defendan.

Berdasarkan keterangan, tak dinafikan ketiga-tiga si mati bersenjata ketika kejadian namun hakim memutuskan bahawa polis terpaksa melepaskan tembakan untuk mempertahankan diri. Tidak terhenti di situ, keluarga mangsa yang masih mahu menuntut keadilan kemudian memfailkan rayuan terhadap keputusan mahkamah itu di Mahkamah Rayuan.

Pada 1 September 2016, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa polis dan kerajaan bertanggungjawab terhadap kematian ketiga-tiga remaja berkenaan sebelum diserahkan kepada Mahkamah Tinggi untuk penilaian ganti rugi.

Dapat ganti rugi RM1.5 Juta

Sekadar gambar hiasan

Terbaru, Mahkamah Tinggi memberikan lebih RM1.5 juta kepada keluarga tiga lelaki remaja yang mati ditembak polis sekitar 11 tahun lalu. Peguam Zaid Malek yang mewakili keluarga memaklumkan bahawa Hakim Datuk Khadijah Idris membenarkan rayuan keluarga tersebut untuk mengetepikan keputusan pendaftar Mahkamah Tinggi, yang memberikan award RM207,000 kepada keluarga ketiga-tiga si mati.

Keluarga itu yang tidak berpuas hati dengan jumlah berkenaan telah mengemukakan rayuan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam (di hadapan hakim) agar ganti rugi dinilai semula dan sejumlah RM1,519,200 diberikan semalam.

Difahamkan, daripada keseluruhan award berjumlah RM1,519,299 itu, setiap keluarga akan menerima RM500,000 bagi ganti rugi am, misfeasans awam, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan. Sementara itu, keluarga Hairul dan Hanafi masing-masing akan menerima tuntutan tanggungan tambahan RM11,200 serta RM8,000.

Jelasnya lagi, mereka berharap agar tindakan sewajarnya akan diambil kepada anggota polis yang terlibat dalam insiden ini.

Sumber: Malaysiakini, Harian Metro

SKIP THIS AD ×