Mahkamah hari ini menetapkan 3 September sebagai tarikh sambungan prosiding pengesahan rujuk yang difailkan oleh usahawan Datuk Red terhadap bekas isterinya yang juga penyanyi, Adira Suhaimi bagi mendengar keterangan lanjut defendan.

Artikel Berkaitan: Mahkamah Tolak Permohonan, Kes Pengesahan Rujuk Datuk Red Terhadap Adira Tangguh

Artikel Berkaitan: Mahu Tamatkan Kemelut, Datuk Red Tarik Balik Kes Pengesahan Rujuk Terhadap Adira

Tarikh baharu

Ketika ditemui OhBulan!, peguam syarie mewakili Adira, Roshdan Sujak Rafie berkata prosiding hari ini telah selesai selepas anak guamnya, Adira selaku defendan telah memberi keterangan.

Kata Roshdan, pihak mereka akan membawa dua orang saksi untuk perbicaraan seterusnya.

Adira sudah memberikan keterangannya berhubung dakwaan yang dikemukakan plaintif berkaitan isu rujuk.

Hari ini, Adira memberikan keterangan dan menafikan keseluruhan dakwaan yang dibuat terhadapnya. Bagaimanapun, proses itu masih belum selesai dan akan bersambung.

Roshdan berkata demikian ketika ditemui selepas prosiding di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat, hari ini.

Prosiding yang dilakukan di hadapan hakim syarie, ‘Afif Sofiuddin Syeikh Abd Ghani berlangsung sekitar dua jam bermula pada 11.30 pagi secara tertutup.

Bagaimanapun, Datuk Red, 48, hanya diwakili peguam syarie, Muhammad Akmal Amzan kerana tidak dapat hadir atas urusan kerja.

Mengulas lanjut, Roshdan berkata Adira akan sambung memberi keterangan pada perbicaraan seterusnya bagi menyangkal dakwaan berhubung isu rujuk yang dibangkitkan sebelum mahkamah membuat sebarang keputusan.

Adira akan terus memberikan keterangan dan berkemungkinan memanggil saksi. Selepas semua proses itu selesai, barulah mahkamah akan menetapkan tarikh prosiding seterusnya sebelum keputusan dibuat.

Terdahulu, mahkamah menolak permohonan penarikan balik kes yang difailkan Datuk Red terhadap Adira.

Sebelum ini, Datuk Red melalui permohonan difailkan pada 18 Disember lalu mendakwa berlaku lafaz rujuk pada Mei 2024 dalam tempoh iddah selepas perceraian.

Bagaimanpun, Adira meluahkan rasa terkejut dengan dengan tindakan Datuk Reddan mendedahkan usahawan itu turut meminta bayaran sebanyak RM100,00 sebagai salah satu syarat untuk membatalkan kes rujuk.

Adira dan Datuk Red mendirikan rumah tangga pada 3 Disember 2015 sebagai isteri kedua sebelum bercerai pada 24 April 2024.

Hasil perkahwinan itu, pasangan berkenaan dikurniakan empat cahaya mata iaitu Anggrek, 7; Asan, 6; Anggun, 5; dan Ayob, 3.