berita

Kes Buli Seksual Sekolah Tahfiz, Mahkamah Tak Dakwa Suspek Kerana Tak Cukup Bukti

October 22nd, 2019 | by Athirah
Kini Trending

Sebelum ini, ibu kepada mangsa sekolah tahfiz yang mendakwa telah dibuli secara seksual meluahkan rasa kecewa apabila mahkamah mengesahkan tiada pendakwaan lanjut dalam kes yang berlaku tiga tahun lalu itu. Luahan wanita tersebut mendapat perhatian netizen yang rata-ratanya turut tumpang sedih dan tidak berpuas hati dengan keputusan yang diputuskan mahkamah.

Susulan itu, terbaru menerusi laporan Astro Awani, Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas menjelaskan asas kepada keputusan yang dibuat mahkamah itu kepada umum.

Tak cukup bukti

Menurut Thomas, Jabatan Peguam Negara (AGC) tidak mendakwa suspek-suspek tersebut kerana tidak cukup bukti bagi membuktikan kes prima facie terhadap mereka.

Katanya, kepentingan awam dalam perkara itu memerlukan fakta-fakta sahih untuk dikemukakan.

Jelas Thomas, polis telah melakukan siasatan dengan menemubual mangsa, suspek-suspek dan saksi seperti guru, kakitangan dan rakan sebilik mangsa dan rakan-rakan sekolah yang lain.

Siasatan polis dalam kes ini bermula dengan ibu kepada pelajar tersebut membuat laporan polis pada 14 Ogos 2016 mendakwa anaknya, ketika itu berusia 10 tahun, (dikatakan telah diliwat oleh tiga pelajar senior, berusia antara 12 tahun hingga 18 tahun (suspek), di sekolah mereka di Manjoi, Perak.

Pemeriksaan perubatan

Tambahnya, mangsa turut menjalani pemeriksaan perubatan di hospital awam. Katanya, kenyataan yang direkodkan oleh pihak berkuasa polis serta laporan perubatan itu menjadi sebahagian daripada kertas siasatan (IP) yang biasanya dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk keputusan.

Kertas Siasatan kemudiannya dipertimbangkan oleh Jabatan Peguam Negara dan Timbalan Pendakwa Raya (DPP) yang mengendalikan kes itu dan berpendapat bahawa tiada kesalahan dilakukan.

Oleh kerana tiada bukti lain ketika itu diperoleh untuk polis menjalankan siasatan lanjut, Timbalan Pendakwa Raya mengeluarkan arahan “Tiada Tindakan Lanjut” (NFA) pada September 2016.

Perkara itu terhenti di situ. Kertas Siasatan dibuka semula pada Februari 2017 berikutan ketersediaan bukti baharu dan Kertas Siasatan dikembalikan semula kepada Jabatan Peguam Negara.

Timbalan pendakwa raya dalam kes itu mengkaji setiap bukti yang tersedia oleh polis termasuk bukti baharu. Oleh kerana tidak cukup bukti untuk membuktikan kes prima facie terhadap suspek-suspek atau orang lain, Timbalan Pendakwa Raya membuat kesimpulan buat kali kedua pada Februari 2018 bahawa siasatan tidak perlu diteruskan.

Tak terima salinan surat

Jelas Thomas lagi, surat aduan bertarikh 3 Jun 2019 telah dihantar oleh ibu pelajar tersebut kepada Majistret. Ibu kepada pelajar itu mengadu bahawa tiada tindakan telah diambil terhadap pelaku walaupun dia telah membuat dua laporan polis pada 2016.

Namun menurut Thomas, salinan surat itu tidak dihantar ke Jabatan Peguam Negara.

Majistret memutuskan untuk mengambil maklum mengenai aduan ibu mangsa. Pada 5 Ogos 2019, Majistret menyerahkan kepada Pejabat Pendakwa Negeri Perak notis menyatakan bahawa kes ini telah ditetapkan untuk disebut pada 9 Oktober 2019 di hadapan Majistret untuk ibu mangsa diperiksa berhubung dengan surat aduannya.

Pemeriksaan akan dijalankan oleh Majistret dalam menjalankan kuasa Majistret di bawah Seksyen 133 Kanun Prosedur Jenayah (CPC).

Katanya, Pejabat Pendakwa Perak kemudiannya telah memberi respon kepada Majistret melalui surat bertarikh 27 Ogos 2019 dengan memberikan maklumat mengenai status sebenar siasatan dan menjelaskan bahawa NFA telah diarahkan.

Nafi aduan ibu mangsa

Sementara itu, Thomas turut berkata aduan ibu mangsa bahawa tiada siasatan dijalankan berhubung laporan polis yang dibuatnya pada 2016 adalah tidak benar.

Katanya, keputusan Timbalan Pendakwa Raya selaras dalam menjalankan kuasa Peguam Negara di bawah Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan.

Majistret hanya boleh menjalankan kuasa untuk memeriksa pengadu di bawah Seksyen 133 CPC, jika tiada siasatan dilakukan oleh pihak polis, yang jelas tidak berlaku.

Mengikut Perlembagaan terserah kepada Peguam Negara (sebagai Pendakwa Raya) untuk menjalankan kuasa mengikut budi bicaranya, untuk memulakan, menjalankan atau tidak meneruskan apa-apa prosiding bagi apa-apa kesalahan. Beliau mempunyai kawalan dan arahan berhubung dengan semua pendakwaan jenayah di bawah undang-undang.

Sumber: Astro Awani, Free Malaysia Today