berita

Kes Bunuh Pelajar Malaysia, Presiden Taiwan Tampil Mohon Maaf

November 2nd, 2020 | by Zulaikha
Kini Trending

Malang nasib yang menimpa seorang pelajar Malaysia, yang dikenali sebagai Irene Chung, 24 tahun, yang dipercayai mati dibunuh oleh seorang lelaki di Taiwan. Mangsa dipercayai diculik terlebih dahulu, sebelum suspek bertindak membunuhnya.

Pelajar Malaysia maut dicekik

Menerusi laporan Berita Harianpihak polis sudah menahan seorang lelaki di Kaohsiung, yang disyaki terlibat dalam pembunuhan Irene. Hasil soal siasat, suspek berkenaan sudah mengaku mencekik mangsa sehingga mati dengan menggunakan tali panjang sebelum mayatnya dibuang di sebuah pergunungan di Kaohsiung.

Berdasarkan bukti yang ditemui, suspek dipercayai menculik gadis berkenaan selepas 8 malam Rabu, iaitu kali terakhir dia dilihat masih hidup.

Pihak polis menerima laporan daripada unit pentadbiran universiti yang melaporkan pelajarnya telah hilang sejak Rabu yang lalu. Hasil rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati mangsa ketika itu sedang berjalan di sepanjang jalan di daerah Gueiren, berdekatan dengan tol kereta api pada 8 malam, sebelum hilang dari pandangan.

Hasil pencarian di kawasan tersebut, pihak polis berjaya menjumpai kasut yang dipercayai milik mangsa dan ia sekali gus, menjawab segala spekulasi bahawa Irene sudah diculik. Menurut siasatan awal, pihak polis mengatakan mangsa langsung tidak mengenali suspek, dan kes tersebut telah diserahkan kepada Pejabat Pendakwa Daerah Ciaotou bagi siasatan lanjut.

Presiden tampil mohon maaf

Foto: Focus Taiwan

Susulan kejadian tersebut, Presiden Taiwan, Tsai Ing-Wen telah memohon maaf kepada keluarga Irene dan seluruh rakyat Malaysia atas insiden yang telah terjadi di negaranya.

Insiden itu secara tidak langsung telah mencemarkan imej Taiwan sebagai negara yang aman dan selamat.

Menurut jurucakap Pejabat Presiden Xavier Chang, kejadian seumpama itu akan menyebabkan masyarakat luar memandang serong terhadap keselamatan negara Taiwan. Kejadian hitam ini akan disiasat dengan teliti supaya kejadian seumpama ini tidak lagi berulang pada masa akan datang.

Tambahan pula, Tsai turut berjanji kepada keluarga mangsa bagi membantu siasatan supaya keadilan diberikan kepada keluarga mangsa. Tidak berakhir di situ, Presiden Universiti Kristian Chang Jung, Lee Yung-Lung turut membuat permohonan maaf kepada keluarga mangsa atas kegagalan pihak universiti dalam memastikan pelajarnya selamat.

Ketika ditemu bual, bapa kepada mangsa, mahu suspek dikenakan hukuman gantung sebagai pengajaran kepada orang lain atas insiden yang telah terjadi.

Sumber: Berita Harian & Focus Taiwan

SKIP THIS AD ×