Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) tampil mengeluarkan kenyataan rasmi susulan penahanan tiga individu yang didakwa terlibat dalam kes penyelewengan dana zakat berjumlah kira-kira RM230 juta.

Artikel Berkaitan: ‘Kami Berniaga Cari Rezeki & Bayar Zakat Tapi Kalau Benar Amanah Diseleweng, Luluhnya Hati’ – Haliza Maysuri

Direhatkan kerja

Menerusi kenyataan yang dimuat naik di TikTok, IKRAM memaklumkan pihaknya akan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa, selain mengesahkan kesemua individu terlibat telah direhatkan daripada tugas serta-merta.

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) mengambil maklum laporan berhubung penahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap tiga individu di Hulu Selangor disyaki terlibat dalam siasatan berkaitan pengurusan dana zakat.

IKRAM memandang serius perkara ini dan menegaskan bahawa intergeriti serta amanah merupakan asas utama yang sentiasa menjadi keutamaan dalam seluruh gerak kerja organisasi.

IKRAM menghormati sepenuhnya proses siasatan yang sedang dijalankan oleh pihak SPRM dan akan terus memberikan kerjasama yang sewajarnya, selaras dengan keperluan undang-undang serta prinsip keadilan.

Sebagai langkah pentadbiran dan tanpa sebarang prejudis kepada mana-mana pihak, individu yang terlibat telah direhatkan serta-merta daripada semua jawatan dan tanggungjawab dalam organisasi. Langkah ini diambil bagi memastikan kelancaran serta ketulusan proses siasatan.

Dalam kenyataan sama, IKRAM turut menjelaskan bahawa isu berkenaan melibatkan tindakan individu dan bukan organisasi secara keseluruhan, selain menegaskan pihaknya menghormati proses undang-undang yang sedang berjalan.

IKRAM ingin menjelaskan bahawa perkara ini melibatkan tindakan individu dan tidak melibatkan organisasi secara langsung. Selaras dengan perlembagaan IKRAM, jika didapati bersalah, tindakan tatatertib akan diambil bagi memastikan integriti organisasi terus dipelihara.

IKRAM akan terus menghormati proses undang-undang yang sedang berjalan dan tidaka akan membuat sebarang ulasan lanjut berhubung perkara ini. Segala keputusan dan penjelasan adalah tertakluk kepada hasil siasatan pihak berkuasa.

IKRAM komited untuk menilai dan memperkukuhkan amalan tadbir urus organisasi agar telus, berintegriti serta selaras dengan tuntutan syarak dan prinsip kedaulatan undang-undang. Semakan dalaman sedang dan akan diteruskan bagi memastikan penilaian yang menyeluruh.

Terdahulu, media melaporkan seorang timbalan pengerusi sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antara tiga individu yang ditahan oleh SPRM kerana disyaki terlibat dalam penyelewengan dana berjumlah kira-kira RM230 juta.

Hasil siasatan awal mendapati kesemua suspek, termasuk dua pengarah syarikat, dipercayai bersubahat melakukan perbuatan tersebut antara tahun 2018 hingga 2024.

Difahamkan, timbalan pengerusi NGO terbabit turut dipercayai memindahkan dana berkenaan ke dalam akaun syarikat miliknya bagi tujuan pelaburan serta kegunaan peribadi.

Siasatan oleh SPRM kini tertumpu kepada kemungkinan berlakunya penyelewengan dana awam memandangkan NGO tersebut menerima sumbangan orang ramai bagi membantu golongan memerlukan.

Sumber: TikTok