berita

Gembira Uri Naik Selepas Diurut Bidan Kampung, Namun Selepas 2 Minggu..

October 24th, 2018 | by Arini Saleh
Kini Trending

Sesetengah ibu hamil hari ini masih mengamalkan petua dan cara rawatan tradisional antaranya berurut. Akibat perubahan hormon, mereka sering penat dan otot badan juga lenguh.

Meskipun memberi manfaat, ada golongan yang tidak digalakkan berurut kerana bakal menjejaskan kandungan. Seperti kisah yang dikongsi ini, selepas berurut bidan kampung untuk naikkan uri dia dikejarkan ke hospital akibat pendarahan serius.

Didapati alami Placenta Previa Type 3

(Sekadar gambar hiasan)

Saya nak balik kampung, nak suruh bidan kampung urut bagi uri naik.

Ada seorang ibu muda, yang pertama kali mengandung didapati mengalami Placenta Previa Type 3, dia disahkan tidak boleh bersalin secara normal kerana uri menghalang laluan bersalin. Sewaktu itu, dia 28 minggu mengandung.

Surat rujukan ke hospital diberikan agar dia mendapat rawatan susulan di hospital dengan segera. Namun nasihat itu tidak dipedulikan.

Atas nasihat orang lain, ibu tersebut mengambil keputusan untuk berubat dengan cara kampung. Dia berjumpa dengan seorang bidan kampung tua, yang ‘berpengalaman’ dalam mengurut ibu mengandung dan ibu dalam pantang. Salah satu ‘kapakaran’ beliau adalah urut untuk menaikkan rahim.

Jadi selepas 2-3 kali urut, bidan tersebut menerangkan kepada si ibu bahawa urinya sudah naik dan tidak lagi menghalang laluan untuk bersalin. Jadi ibu tersebut sudah boleh bersalin secara normal. Bidan itu juga mencadangkan si ibu tersebut bersalin terus dengannya nanti apa bila sampai waktunya.

Gembira bukan kepalang ibu muda tersebut. Bersyukur dengan keputusannya untuk tidak meneruskan rawatan di hospital. Rasa seperti doanya telah dimakbulkan. Pulanglah si ibu dengan hati yang berbunga.

Selang 2-3 minggu selepas itu, si ibu dapati ada darah yang keluar, namun rasa sakit untuk bersalin tidak ada, darah semakin lama semakin banyak keluar. Dia dan suami terus berjumpa dengan bidan tersebut. Setelah beberapa jam rawatan bidan tersebut, namun darah masih tidak berhenti. Si ibu semakin lemah, pucat dan hampir pengsan. Tidak puas hati dengan rawatan bidan tersebut, si suami mengambil keputusan untuk membawa isterinya yang hampir pengsan itu ke hospital.

Setibanya di hospital, dia dibawa ke zon kecemasan. Pakar sakit puan dihubungi. Rupa-rupanya si ibu telah mengalami pendarahan teruk akibat uri dibawah. Sebenarnya uri tersebut tidak berganjak sedikit pun walaupun selepas diurut oleh bidan itu. Keadaan si ibu amat genting pada waktu itu, tekanan darah semakin menurun, jantungnya berdegup sangat kencang untuk menghantar darah yang tinggal sedikit ke organ-organ utamanya. Dia juga sangat pucat dan mula meracau-racau. Ujian darah menunjukkan paras hemoglobin ibu tersebut sangat rendah iaitu hanya 5 berbanding yang normal adalah 12. Keadaannya pada waktu itu adalah sangat genting.

Uri tidak boleh naik semula walau diurut

(Sekadar gambar hiasan)

Doktor pakar mula berbincang dengan si suami. Tindakan segera perlu diambil untuk menyelamatkan nyawa si ibu. Pembedahan segera perlu dilakukan walaupun bayi masih tidak cukup bulan untuk memberhentikan pendarahan dan menyelamatkan nyawa si ibu.

Jadi bagaimana dengan nyawa bayi? Pakar bedah sakit puan dan pakar kanak-kanak akan berusaha sebaik mungkin untuk menyelamatkan kedua-duanya. Namun keutamaan sekarang adalah menyelamatkan nyawa ibu.

Setuju dengan saranan doktor pakar, pembedahan mula dilakukan. Syukur pada ilahi, pembedahan berjaya dilakukan, pendarahan dapat diberhentikan. Nyawa ibu berjaya diselamatkan.

Namun bayi yang dilahirkan sangat pra matang iaitu pada 32 minggu. Dia dimasukkan ke unit rawatan rapi untuk pemeriksaan lanjut. Akibat dari pembedahan secara tidak dirancang terpaksa dilakukan, bayi tidak mempunyai paru-paru yang matang dan sangat berisiko mendapat jangkitan kuman.

Selepas pembedahan dilakukan, si ibu menerima 8 bag darah untuk menstabilkan keadaannya.

Kisah ini disiarkan supaya menjadi iktibar kepada semua.

Uri tidak boleh naik semula walaupun di urut. 
Uri akan naik sendiri tanpa perlu diurut jika sebelum 28 minggu. Selepas 28 minggu, kedudukan uri tidak akan banyak berubah sehingga bersalin.
Jika didapati mengalami uri dibawah, pastikan ibu mendapat rawatan susulan di hospital dengan segera. Si ibu sangat berisiko mendapat pendarahan yang tidak boleh diberhentikan seperti yang berlaku pada ibu tadi.
Kes seperti ini, bayi perlu diberikan suntikan agar paru-paru baby lebih cepat matang sekiranya pembedahan awal perlu dilakukan.

Sama-sama kita doakan agar si ibu dan bayi tersebut selamat dan kes seperti ini tidak lagi berlaku.

Poliklinik Az-Zaara
Pusat Penjagaan Antenatal Pilihan Anda
03-42663686/011-52300300

*Gambar hiasan

Sumber : Poliklinik Az-Zaara

SKIP THIS AD ×