Seorang bapa yang sebelum ini viral kerana terpaksa memisahkan 6 anak menghembuskan nafasnya yang terakhir sejurus pulang dari menunaikan umrah, kelmarin.
Menerusi laporan Harian Metro, Kamarul Sharizam yang berusia 40 tahun mengadu tidak sihat sebaik pulang dari menunaikan umrah sebelum meninggal dunia pada jam 5.05 petang di Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS).
Luahan anak sulung
Apa yang memilukan, anak sulung kepada Allahyarham, Muhammad Haikal Nashriq berkata sejak ibu dan bapanya berpisah pada dua tahun lalu, bapanya itulah yang menjaga mereka enam beradik secara bersendirian.
Katanya, bagi meringankan beban yang ditanggung ayahnya ketika masih hidup, dia bersama dua lagi adik lelaki berusia 9 dan 11 tahun turut membantu menguruskan tiga lagi adik perempuan yang berusia 2, 4 dan 7 tahun.
Luah kanak-kanak berusia 13 tahun itu, selepas ini tiada lagi ayahnya untuk membawa mereka berjalan-jalan dan membelikan mainan buat mereka.
Ketika ayah ada, dia jaga kami dan kami jaga ayah kerana dia sakit.
Ayah sering tunaikan permintaan kami seperti membawa kami berjalan-jalan dan membelikan permainan namun kini ayah sudah tiada.
Perancangan buat 6 beradik
Adik kepada Allahyarham, Kamarul Shahril Kamarudin dalam pada itu memaklumkan tentang perancangan jangka pendek buat enam beradik itu.
Meskipun dipisahkan, katanya keenam-enam mereka bagaimanapun tetap akan berada di sekitar pengawasannya dan adik-beradik yang lain selepas ini.
Muhammad Haikal Nashriq yang mengalami masalah autisme akan menetap bersama adik saya, Norul Arshada Kamarudin, 29, di Seremban memandangkan rumahnya berdekatan sekolah yang menawarkan kelas pendidikan khas.
Muhammad Harraz Nashriq, 11, dan Muhammad Azrin Nashriq, 9, ditempatkan di Pusat Jagaan Anak-Anak Yatim Walidaina yang diuruskan adik saya.
Qaseh Nurqisha Irdani, 4, dan Qaseh Irdanu Qaisara, 7, akan dijaga sepupu saya manakala Qaseh Al-Qausar, 2, kini dijaga seorang ustaz yang sedang melengkapkan proses untuk mengambilnya sebagai anak angkat.
Apa yang paling penting adalah mereka semua berada di sekitar pengawasan saya dan adik-beradik lain. Mereka semua kini menjadi tanggungjawab kami.
Tiba-tiba rebah
Sementara itu, seorang lagi adik arwah, Mohamad Zatullah berkata abangnya sudah kelihatan tidak sihat ketika menjemputnya pulang dari menunaikan umrah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Katanya, susulan itu dia terus membawa abangnya itu ke hospital untuk menerima rawatan.
Sebaik tiba di hospital, saya pimpin abang dan meletakkannya di kerusi roda.
Namun abang tiba-tiba rebah dan pegawai perubatan memberikan bantuan pernafasan kecemasan (CPR) sebelum dia disahkan meninggal dunia.
Dia berkata abangnya telah menerima tajaan menunaikan umrah itu dan dia ke Tanah Suci bersama seorang rakan.
Arwah Kamarul Sharizam sebelum ini dilaporkan tidak lagi mampu bekerja selepas menghidapi pelbagai penyakit seperti lemah jantung, darah tinggi, kencing manis, asma dan batu karang.
Sumber: Harian Metro, Berita Harian