berita

Khairy Jamaluddin Harap Cadangan Pengharaman Rokok & Vape Bagi Generasi Yang Lahir Pada 2007 Diluluskan

September 29th, 2022 | by Nurul
Kini Trending

Kredit: Free Malaysia Today (FMT)

Umum mengetahui bahawa merokok merupakan ancaman utama kepada kesihatan awam di seluruh dunia dan tabiat ini telah menyebabkan lebih dari 8 juta kematian setiap tahun. Lebih menyedihkan, 1.2 juta dari jumlah kematian tersebut adalah melibatkan individu yang tidak merokok tetapi telah terdedah kepada asap rokok.

Dalam usaha untuk mengharamkan tabiat merokok bagi generasi akan datang, baru-baru ini Menteri Kesihatan, YB Khairy Jamaluddin sempat bercakap tentang bahaya merokok dan rancangan jangka panjangnya untuk pengurangan bahaya tembakau dan e-rokok pada walkathon World Lung Day 2022 Fun Walk di Taman Botani Negara Shah Alam.

Generasi lahir dari tahun 2007 dan seterusnya dilarang merokok atau membeli apa-apa produk merokok

Kredit: Twitter Aysha Ridzuan

Bagi merealisasikan visi untuk mewujudkan masyarakat Malaysia yang bebas tanpa amalan merokok kurang dari 5% menjelang tahun 2040, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melancarkan kempen GEGAR-18 (Generational EndGame Anti Rokok) pada April lalu.

Kempen advokasi ini memperuntukkan akta baharu iaitu larangan merokok serta penggunaan rokok eletronik dan vape terhadap anak-anak yang lahir dari tahun 2007 dan seterusnya atau lebih dikenali sebagai Generational EndGame (GEG).

Dalam ucapannya di Fun Walk tersebut, Khairy menegaskan bahawa “Kita berhak mendapat udara bersih, dan yang lebih penting, generasi selepas kita iaitu anak dan cucu kita juga berhak mendapat udara bersih,”

“Untuk memastikan perkara ini, tiada sesiapa yang lahir selepas 2007 boleh membeli rokok, boleh membeli vape lagi, di sini, di Malaysia,” tambahnya.

Namun begitu, bagi mereka yang melakukan kesalahan ini, tidak akan ditangkap atau dimasukkan ke dalam penjara. Tetapi usaha ini dilakukan untuk melindungi rakyat Malaysia terutamanya generasi muda dari bahaya merokok.

Kos perbelanjaan kerajaan untuk rawatan perubatan makin meningkat saban tahun

Kredit: mStar

Jelas Khairy, tak dinafikan bahawa kerajaan memperolehi cukai eksais rokok yang tinggi, tetapi jumlah keseluruhan tersebut tak dapat dibandingkan dengan jumlah perbelanjaan rawatan kerajaan untuk rawatan perubatan bagi penyakit dan masalah berkaitan pernafasan setiap tahun.

“Kita mendapat kira-kira RM2 hingga 3 bilion setahun, tetapi adakah anda tahu berapa banyak yang kita belanjakan untuk merawat kanser paru-paru, penyakit paru-paru obstruktif kronik, dan penyakit jantung kerana merokok?

“Kira-kira RM6 bilion pada waktu ini dan jumlah tersebut akan meningkat sehingga RM8 bilion setiap tahun,” katanya.

Di akhir ucapannya, Khairy menyeru kepada rakyat Malaysia supaya sama-sama berganding bahu memperjuangkan hak kita semua untuk mendapat udara yang bersih serta melindungi generasi akan datang daripada merokok.

“Sekiranya kita tahu apa yang kita tahu tentang merokok hari ini, kita tidak akan pernah benarkan ia dijual di negara ini,” katanya.

SKIP THIS AD ×