
Penyanyi dan personaliti popular Korea Selatan, Kim Jong-kook mengumumkan bakal mendirikan rumah tangga tidak lama lagi.
‘Saya akan berkahwin’
Khabar gembira itu dimaklumkan oleh Jong Kook menerusi sepucuk surat tulisan tangan yang dikongsikan di kafe peminatnya pada pagi Isnin, 18 Ogos.
Dalam perkongsian itu, bintang berusia 49 tahun tersebut mengakui berdebar saat membuat pengumuman berkenaan perkahwinannya.
Saya selalu membayangkan suatu hari nanti akan menulis sesuatu seperti ini, namun tetap rasa gementar ketika melakukannya. Saya akan berkahwin.
Jong-kook turut menyifatkan tahun ini sangat bermakna sempena dengan ulang tahun ke-30 debutnya sebagai penyanyi.
Saya tidak sempat menghasilkan album penuh yang saya mahukan, hanya separuh jalan, tetapi saya berharap ramai akan tetap meraikan dan menyokong saya.
Walaupun agak lewat, saya rasa sangat bertuah. Saya akan hidup dengan baik.
Menurut agensinya, TURBO.JK COMPANY, majlis perkahwinan itu akan diadakan secara tertutup bersama keluarga serta rakan rapat sahaja.
Lebih bermakna untuk memulakan langkah baharu ini pada tahun ke-30 debutnya. Kami berharap ramai peminat akan mendoakan dan memberikan sokongan.
Sementara itu, Jong Kook merancang pelbagai promosi sempena ulang tahun ke-30 kerjayanya, termasuk pelancaran album dan konsert pada bulan Oktober.
Sebelum ini, pada Mei lalu, Kim Jong-kook dilaporkan membeli sebuah unit kediaman mewah berkeluasan 243㎡ di kawasan Nonhyeon-dong, Gangnam-gu, Seoul bernilai 6.2 bilion won.
Ketika muncul dalam program hiburan KBS2 ‘Problematic Children in the Rooftop Room’, dia pernah berseloroh bahawa rumah itu mungkin menjadi rumah pengantin baru jika dia berkahwin kelak.