Enggan lagi berahsia, anak kepada penyanyi, Safura iaitu Kim Khairii mendedahkan status sebenar dirinya yang sudah mendirikan rumah tangga dan mempunyai seorang cahaya mata.

Artikel Berkaitan: Bapa Pertahan Marsya, Bidas Dakwaan Tak Menyerlah Lepas TTMM – ‘Kau Dah Kenapa? Rezeki Masing-Masing’

Bapa anak satu

Kim atau nama sebenarnya Muhammad Daniel Khaqim Mohd Khairi, 26, berkata dia sebelum ini memilih untuk tidak berkongsi mengenai perkahwinannya demi menjaga privasi keluarga.

Betul saya dah kahwin. Saya sudah mendirikan rumah tangga pada tahun lalu. Saya pilih untuk menjaga privasi, yang penting sekarang orang dah tahu saya sudah berkahwin.

Kim berkata demikian ketika ditemui pada sidang media konsert minggu kelima Talk To My Manager 2 (TTMM2) yang berlangsung di Auditorium MBSA, Shah Alam pada Ahad.

Bercerita lanjut, penyanyi itu memaklumkan dia dan isteri sudah sepakat untuk tidak terlalu berkongsi kehidupan peribadi di media sosial termasuk memuat naik gambar keluarga.

Saya sudah mengenalinya selama empat tahun sebelum berkahwin. Kami juga sudah ada seorang cahaya mata lelaki berusia empat bulan.

Saya memilih untuk merahsiakan di media sosial dan tidak berkongsi sebarang foto bersama isteri dan anak. Lagipun dia tidak selesa sekiranya wajahnya dikongsi kepada umum.

Ketika ditanya sama ada dia bimbang pendedahan tersebut akan memberi kesan terhadap sokongan peminat, Kim bagaimanapun percaya soal rezeki yang sudah ditentukan.

Isteri saya juga dulu seorang penyanyi, pernah jadi artis rakaman tetapi sekejap sahaja. Selepas itu dia bekerja di luar daripada bidang seni.

Saya rasa peminat tidak perlu frust bila tahu saya sudah berkahwin sebab saya menyanyi untuk menghiburkan anda semua.

Kalau perkara ini menyebabkan hilangnya peminat, saya reda. Saya tak perlu nak sorok lagi status kerana macam mana sekali pun orang akan tahu juga nanti.

Sebelum ini, nama Kim menjadi perhatian selepas tular dakwaan seorang pengguna Threads yang mengatakan penyanyi itu sudah berkahwin.

Malah, individu tersebut turut mendakwa pernah melihat ibunya, Safura membuat persembahan nyanyian pada majlis perkahwinan Kim sebelum ini.