berita

Kisah Benar Di Sebalik Filem Seram Thailand, Nang Nak Yang Ramai Tak Tahu

October 7th, 2019 | by Shira
Kini Trending

Setiap kali filem seram ditayangkan di pawagam, pasti mendapat sambutan yang hangat oleh masyarakat Malaysia. Namun, masih ramai yang tidak tahu bahawa beberapa filem seram ini adalah diadaptasi daripada kisah sebenar seperti filem seram dari Thailand iaitu Nang Nak.

Susulan daripada itu, seorang pengguna Facebook, John Mohamed ada berkongsi tentang kisah sebenar disebalik filem seram ini.

Berlaku sekitar tahun 1800

Mengikut kisah lagenda yang diceritakan turun temurun di sana, Nak merupakan seorang wanita yang sangat cantik tinggal bersama suaminya yang bernama Mak. Nang Nak bermaksud ‘Cik Nak’. Mereka ini tinggal bersama di satu kawasan tebing sungai yang bernama Phra Khanong, terletak dalam kawasan Bangkok.

Kisah hantu ini bermula pada sekitar pemerintahan Raja Rama Keempat iaitu sekitar tahun 1800. Cerita lagenda ini dikisahkan apabila Mak dikerah untuk menyertai peperangan ketika itu, dalam peperangan yang sengit tersebut, Mak telah cedera parah dan dia telah mendapat rawatan di hospital tengah bandar Bangkok.

Nak dan bayi meninggal dunia

Malangnya ketika itu Nak dan bayi yang dikandung meninggal dunia akibat komplikasi semasa melahirkan anak sulung mereka, waktu tu Mak memang tak tahu yang isteri dia dah meninggal.

Bila sudah dapat rawatan di Bangkok, Mak balik ke kampung halaman dia. Mak rasa sangat gembira bila tengok isteri dia dah bersalin. Tapi apa yang Mak ini rasa tak senang bila orang kampung bercakap pasal mereka, katanya Mak ni sebenarnya tinggal bersama hantu.

Hanya Mak sahaja yang nampak isteri dan anak dia dan itu sebabnya orang kampung kata dia tinggal dengan hantu. Jadi Mak pada mulanya rasa macam tak percaya, mungkin orang kampung ini iri hati dengan dia.

Isteri dan anak bertukar jadi hantu

Namun pada satu hari, bila Nak tengah menyediakan makanan yang dipanggil Nam Phrik, lebih kurang macam sambal belacan juga lah. Bila Nak ni perah limau nipis, limau tu terjatuh, dan Nak ni memanjangkan tangannya untuk ambil limau tu.

Tanpa dia sedari, Mak tengah memerhatikan tangan dia yang panjang tu, dari situ lah Mak percaya cerita orang kampung yang sebenarnya isteri dan anak dia dah mati, bertukar menjadi hantu.

Dia tahu yang dia perlu lari dari rumah tu, bila waktu malam menjelma, Mak bagi tahu isteri dia yang hantu ini nak pergi tandas. Dia apa lagi terus berlari sekuat hati dan dia dikatakan menyorok dalam semak yang ditumbuhi dengan pokok Naat.

Suami larikan diri

Orang Thailand percaya hantu atau roh jahat ni tak akan datang dekat bila ada pokok Naat ni. Mak pulak lari ke sebuah tempat nama dia Kuil Mahabut, dekat situ pun hantu Nak ini tak boleh masuk sebab orang sana percaya tempat ni merupakan tempat suci.

Nak dapat tahu yang suami dia dah larikan diri, akibat mulut orang kampung yang bercakap pasal kematian Nak ini. Hantu nak mula mengganggu penduduk kampung tersebut sehingga keadaan kampung tak tenang.

Letak roh dalam tembikar tanah

Selepas hantu Nang Nak ni kacau penduduk kampung, pawang akhirnya berjaya menangkap roh hantu ini dan letak dalam tembikar tanah lalu dibuang dalam sungai.

Kalau nak tahu, penduduk di sana ada buat tempat sembahan kecil khas untuk Nang Nak ni. Berada dalam kawasan Kuil Mahabut tu, patung dan juga lukisan gambar Nang Nak dipamerkan dekat situ.

Ada orang yang datang untuk meminta hajat dengan membawa kain berwarna dan juga buah, bunga serta colok.

Sumber: John Mohamed