berita

Kita Mesti Menang! Kementerian Pengajian Tinggi Mahu Bersama Mempergiat Pelan Pemulihan Negara

August 3rd, 2021 | by Sya Alkaf
Shout Out!

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) melancarkan Kempen Mesti Menang bersama KRU studios sebagai salah satu langkah membantu kerajaan dalam menjalankan Pelan Pemulihan Negara bagi menangani krisis pandemik COVID-19.

Menerusi kempen ni, tumpuan bakal diberikan kepada empat fokus utama iaitu Peranan Hospital Pengajar Universiti, Penyediaan Pusat Pemberian Vaksin Institusi Pendidikan Tinggi (PPV IPT), kesukarelawan dan inisiatif Food Bank.

Kempen Mesti Menang dijalankan menerusi penghasilan video berdurasi pendek bagi memperlihatkan usaha-usaha KPT dalam menyokong strategi kerajaan terutama melalui Program Imunisasi Nasional Covid-19.

Ia bakal memaparkan secara terperinci peranan dan tanggungjawab HPU yang berstatus hospital hibrid Covid-19 bagi memberikan rawatan buat pesakit COVID-19 dan pesakit bukan COVID-19.

Universiti Awam (UA) dan Hospital Pengajar Universiti (HPU) bertindak sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV)

Kredit foto: Kosmo

Demi mempercepatkan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), beberapa buah UA dan HPU telah disenaraikan sebagai lokasi berpotensi untuk dijadikan PPV.

Model PPV IPT mengguna pakai model PPV di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang akan melibatkan UA, HPU, Pusat Kesihatan Universiti (PKU) serta Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan sebagai tonggak kepada setiap PPV IPT.

Buat masa sekarang, terdapat 26 buah PPV IPT yang telah beroperasi di seluruh negara dan KPT merancang untuk membuka 19 lagi PPV IPT menjadikan jumlah keseluruhannya sebanyak 45 buah PPV IPT.

Kempen daftar vaksin turut giat dijalankan bukan sahaja kepada warga pengajian tinggi. Malah, diperluas kepada penduduk dan masyarakat setempat.

YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, Menteri Pengajian Tinggi menyifatkan bahawa beliau berasa amat terharu dengan komitmen dan semangat yang ditunjukkan oleh para sukarelawan, petugas kesihatan serta petugas bukan kesihatan dalam membantu masyarakat mendapatkan penerangan mengenai vaksinasi dan seterusnya mendapatkan vaksinasi.

Tambahnya lagi “Melalui Kempen Mesti Menang, kita akan menggalakkan lebih ramai warga pengajian tinggi dalam kalangan staf, para pelajar dan alumni untuk mendaftar sebagai sukarelawan agar bersama-sama menjayakan sasaran kerajaan untuk mencapai imuniti kelompok (herd immunity)”

Struktur semula Inisiatif Food Bank Siswa di IPT

Melalui kempen yang sama, pihak PKT turut menjalinkan kerjasama dengan Sekretariat Food Bank bagi menjenama dan menstruktur semula Inisiatif Food Bank Siswa di IPT demi kepentingan kebajikan para pelajar dan barisan hadapan warga pengajian tinggi.

Kedua-dua pihak kini dalam proses bagi menyelaraskan mekanisme bantuan Food Bank Siswa agar lebih sistematik dan berstrategi di IPT yang menyasarkan pelajar daripada golongan B40, asnaf, fakir miskin dan berkeperluan demi menangani isu peningkatan kos sara hidup.

KPT dan KRU Studios juga bakal menghasilkan lagu dan klip video yang mengetengahkan topik kesedaran mengenai pematuhan kepada perintah dan undang-undang yang sedang berkuatkuasa, menggalakan masyarakat untuk mendapatkan vaksinasi termasuklah penghargaan kepada petugas barisan hadapan.

Klip video tersebut bakal disiarkan secara meluas di lebih 360 platform penstriman termasuk Spotify, iTunes, Apple Music, Deezer dan Joox. Sepanjang kempen ni berlangsung, lagu tema ‘Mesti Menang’  bakal dimainkan sebagai pembakar semangat buat orang ramai.

Dr. Noraini Ahmad yang ditemui ketika majlis pelancaran Kempen Mesti Menang turut menzahirkan rasa terima kasihnya di atas komitmen semua pihak bagi menjayakan kempen berkenaan.

Harapannya semoga kempen Mesti Menang dapat memberi kesedaran kepada masyarakat umum tentang kepentingan untuk bekerjasama bagi membendung virus ini.

SKIP THIS AD ×