berita

“Kita Semua Manusia Biasa” – Amanda Imani Jawab Isu Tatu

October 3rd, 2012 | by Ai
Kini Trending

Pada Ahad lalu, sebuah akhbar tabloid tempatan telah mengeluarkan laporan dan mempersoalkan mengenai isu Tatu yang terdapat di bahagian kaki kiri Amanda Imani sewaktu penyanyi tersebut menghadiri majlis pembukaan butik H&M minggu lalu.

Berikutan isu tersebut, pihak OHBULAN! telah menghubungi Amanda dan mendapatkan kepastian daripada penyanyi itu sendiri.

Menurut penyanyi yang terkenal dengan lagu “Selami Cinta”, tatu tersebut hanyalah sekadar pelekat. Amanda merasakan perkara tersebut tidak salah dan menganggapnya sebagai satu perkara yang tidak rasional untuk diperbesarkan.

“Saya tak nampak sebarang kesalahan untuk tampal pelekat tatu tersebut dan tak faham kenapa perlu ada pihak memandang serius terhadap perkara macam itu.”

“Sekarang ni tatu tersebut dah pun tanggal. Tak tahulah mana rasionalnya untuk orang pandang perkara tersebut sebagai satu kesalahan besar,” ulas Amanda sambil tergelak kecil.

Mengulas lebih lanjut mengenai isu tersebut, Amanda akui sejak kecil lagi dia memang suka tampal pelekat-pelekat sebegitu dibahagian tubuhnya. Jadi, apabila temannya menghadiahkan pelekat tersebut, penyanyi ini tidak teragak-agak untuk memakai dan menjadikannya sebagai aksesori tambahan.

Amanda turut akui perkara seperti ini sememangnya sering hadir di dalam industri seni hiburan dan dia tidak mengambil hati dalam soal tersebut. Malah Amanda bersyukur kerana masih ada media yang perihatin dan memberi peluang untuk dirinya bersuara.

“Perkara macam ini memang selalu hadir dalam industri hiburan dan ia tidak dapat dielakkan. Apa pun saya bersyukur kerana ada juga pihak yang memerhatikan saya dan memberi peluang untuk saya bersuara sebelum mengambil keputusan muktamad sendiri.”

“Insyallah semuanya baik-baik sahaja dan perkara ini hanyalah salah anggap. Amanda tak ambil hati. Kita semua manusia biasa,” ulas Amanda sebelum mengakhiri perbualan.

Merujuk perkembangan terbaru, Amanda bakal menjalankan penggambaran video klip lagu terbarunya berjudul “Fobia Cinta” di Carcosa Seri Negara, Kuala Lumpur pada Khamis ini. Lagu tersebut merupakan 100% hasil seni Amanda sendiri.

SKIP THIS AD ×