Pelakon Mimi Lana meluahkan rasa kecewa terhadap pendedahan Puteri Balqis bersama ibunya berhubung trauma berkaitan dakwaan pemerdagangan manusia.

Artikel Berkaitan: Mimi Lana Pilih Buat Baik & Jauhi ‘Toxicity’ – ‘Saya Nak Hidup Tenang’

Artikel Berkaitan: Mimi Lana Mohon Maaf Kepada Jurusolek, Akui Terlepas Pandang Soal Bayaran Sejak 2019 – ‘Saya Baru Check DM’

Perdagangan manusia

Menerusi perkongsian yang dimuat naik di Threads, pemilik nama Mimi Rozaiana Zainal Abidin menegaskan pemerdagangan manusia adalah sesuatu yang perlu dititikberatkan terutama dalam bidang yang diceburi.

Kata Mimi, pendedahan itu mencerminkan realiti seorang ibu yang membesarkan anak seorang diri, namun disalahgunakan oleh segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab.

Saya mengambil masa lama untuk menghadam apa yang saya dengar. Semakin saya fikirkan, semakin hati ini hancur.

Pemerdagangan manusia bukan bahan jenaka. Ini bukan kandungan. Ini bukan gosip. Ini adalah trauma sebenar, lebih-lebih lagi dalam industri yang saya sendiri ceburi.

Selepas menonton penuh podcast Puteri Balqis dan ibunya, hati saya terasa sangat berat. Sejak itu, fikiran saya tak tenang.

Maruah seorang wanita dan seorang ibu telah dipijak-pijak. Ini tentang seorang ibu yang bersusah payah membesarkan anaknya sebagai pelakon tapi diperlakukan dengan jijik, kejam dan tidak bermaruah. Didakwa dilakukan oleh seorang artis wanita veteran dan seorang ahli politik.

Harap dapat dibanteras segera

Tegas pelakon berusia 30 tahun itu, tempat kerja seharusnya menjadi ruang yang selamat, bukan medan pemburuan di mana wanita dan kanak-kanak diperlakukan seolah-olah tiada maruah diri.

Justeru, Mimi menyeru pihak bertanggungjawab untuk segera mengambil tindakan sekali gus menjalankan siasatan agar perkara ini tidak berulang pada mana-mana individu.

Malaysia ada undang-undang dan perkara ini langsung tak sepatutnya berlaku.

Saya percaya tempat kerja sepatutnya menjadi ruang yang selamat, bukan medan pemburuan. Bukan tempat di mana wanita dan kanak-kanak diperlakukan seperti objek.

Dalam industri ini, ramai wanita dan kanak-kanak yang bekerja. Ramai yang sangat naif, terutama bila baru masuk dan hanya mahu mencari rezeki. Mereka percaya, mereka ikut. Mereka diam dan itulah yang paling menakutkan.

Saya harap PDRM ambil isu ini dengan sangat serius. Bukan sekadar dengar tapi siasat.

Kerana setiap kali kita diam, kita sedang membenarkan perkara ini berlaku lagi dan lagi. Kita tak mahu negara kita ada seorang lagi Jeffrey Epstein.

Pemerdagangan manusia adalah perbuatan yang keji.

Terdahulu, ibu pelakon Puteri Balqis, Norashikin Mohd Aziz, mendedahkan pengalaman hitamnya ketika Puteri Balqis atau mesra dengan panggilan Aqish yang menghadapi masalah penglihatan.

Dalam keadaan terdesak, seorang artis veteran didakwa menawarkan bantuan melalui ahli politik.

Keadaan itu membuatkan Norashikin percaya bantuan itu ikhlas tanpa publisiti, lalu tidak mengesyaki sebarang niat jahat.

Sumber: Threads @missmimilana