Pakar dermatologi, Dr. Wanda menasihatkan orang ramai supaya tidak membeli ubat kawalan berat badan dan antidiabetes secara haram, khususnya menerusi pasaran gelap atau ‘black market’.

Artikel Berkaitan: Isu Minta ‘Sponsor’ Makanan Di Set Penggambaran, Zul Huzaimy Percaya Erma Fatima Niat Baik Mahu Bantu Peniaga

Artikel Berkaitan: Bukan Anak Emas! Walau Lama Berkawan, Zul Huzaimy Tak Terima Semua Tawaran A. Aida

Larang beli ‘black market’

Menurut Dr. Wanda, ubat-ubatan terkawal berkenaan perlu diperoleh melalui saluran yang sah dan berdaftar selain mendapatkan nasihat serta pemantauan daripada doktor bertauliah bagi mengelakkan risiko kesihatan.

Saya sangat melarang orang di luar sana untuk membeli secara haram atau ‘black market’. Sebab kita tidak tahu apa yang akan terjadi pada tubuh badan untuk jangka masa panjang.

Mungkin keputusan yang diperoleh nampak cantik sekarang, tetapi pada masa akan datang kita tidak tahu.

Saya jumpa ramai sangat orang yang sebelum datang kepada saya, mereka telah membeli ubat cucuk secara haram dengan pihak yang tiada tauliah.

Dr. Wanda berkata demikian ketika ditemui pada majlis Pink Promises 2026, Kesedaran Kanser Payudara dan Inisiatif Kesihatan Mental serta pelancaran Anre Wellness anjuran Darla Club yang berlangsung di Ampang, baru-baru ini.

Majlis tersebut turut memperkenalkan pelakon Zul Huzaimy sebagai Celebrity of Darla Wellness.

Mengulas lanjut, Dr. Wanda berkata, setiap ubat mempunyai kesan sampingan dan pengambilan tanpa pemeriksaan serta pemantauan doktor boleh mengundang komplikasi serius.

Setiap ubat akan ada kesan sampingan. Sebelum mahu ambil ubat terkawal perlu mendapatkan konsultasi daripada doktor bertauliah.

Kesan yang ambil secara ‘black market’ boleh jadi kebocoran usus atau paling teruk boleh menyebabkan kematian.

Terdahulu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merampas pelbagai ubat kawalan berat badan dan antidiabetes tidak berdaftar, termasuk ubat percubaan Retatrutide yang dijual secara haram dalam talian dengan nilai rampasan melebihi RM400,000 bagi tempoh 2025 hingga September lalu.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, tindakan tersebut diambil susulan peningkatan trend pembekalan dan pembelian ubat-ubatan glucagon-like peptide-1 receptor agonist (GLP-1 RA) tanpa pemantauan klinikal serta kawalan sah daripada pihak berkuasa.