

Buletin TV9 selaku saluran berita nombor dua negara dan Harian Metro, akhbar harian bahasa Melayu nombor satu di Malaysia berkolaborasi bagi menyampaikan kandungan berita yang lebih mantap serta menyeluruh kepada umum.
Ketengahkan isu-isu semasa

Gabungan kedua-dua platfom bukan sahaja mengetengahkan isu-isu semasa berkaitan kemanusiaan dan komuniti dalam negara, malah memberi nilai tambah kepada penonton dan pembaca melalui perkongsian berita yang lebih menarik, berdaya saing serta berinformasi hasil gabungan kepakaran dan idea antara dua pasukan editorial.
Kolaborasi ini telah bermula dengan paparan berita sulung iaitu Selamat Tahun Baru Cina Dalam Sedih yang disiarkan pada Buletin TV9 pada 1 Februari 2022 yang lalu manakala akhbar Harian Metro akan melaporkan segmen Metro Prihatin pada setiap minggu bermula bulan Mac ini.
Segmen Metro Prihatin akan memfokuskan kepada bantuan yang diberikan oleh pihak Harian Metro kepada masyarakat yang kurang bernasib baik menerusi tabung Metro Prihatin.
Gabungan kepakaran & idea

Program tanggungjawab sosial masyarakat (CSR), Titipan Kasih Harian Metro turut ditayangkan dalam siaran Buletin TV9 menerusi kerjasama ini. Program CSR Harian Metro yang diperkenalkan sejak tahun 2007 telah memberikan bantuan dan sumbangan kepada golongan yang kurang bernasib baik tidak mengira latar belakang, etnik dan agama dengan kerjasama daripada rakan – rakan penaja.
Bercerita lebih lanjut, topik konsumer yang dilaporkan oleh Harian Metro turut akan dipaparkan dalam Buletin TV9 pada setiap minggu. Kolaborasi ini juga merangkumi laporan berita secara rakaman atau lintas langsung untuk liputan bencana alam dan acara sukan.
Untuk maklumat lanjut, korang boleh ikut media sosial Harian Metro & TV9 Malaysia untuk laporan terkini dan komprehensif.








