Seorang komposer merangkap gitaris sebuah kumpulan muzik ditahan polis selepas disyaki memukul jiran kerana perselisihan faham berkaitan pintu bilik air di sebuah rumah sewa di Pandan Indah, Ampang pada Rabu.

Serang penyewa bilik

Memetik laporan Harian Metro, kejadian berlaku pada 30 Jun lalu apabila mangsa yang sedang tidur di biliknya terdengar bunyi pintu bilik air dihempas dengan kuat oleh suspek, yang juga penyewa di rumah tersebut.

Mangsa yang tidak berpuas hati keluar dan menghempas semula pintu itu menyebabkan komposer berusia 46 tahun itu yang menyewa di bilik sebelah mangsa keluar semula.

Situasi menjadi tegang apabila suspek didakwa menyerang mangsa menggunakan sebatang objek dipercayai pemegang gitar, sehingga menyebabkan kecederaan pada bahagian lengan mangsa.

Mangsa telah menerima rawatan di Hospital Ampang sebelum membuat laporan polis. Difahamkan, mangsa berusia lingkungan 50-an dan bekerja sebagai tukang masak.

Susulan laporan itu, pihak polis bertindak menahan suspek pada hari yang sama untuk siasatan lanjut.

Sumber: Harian Metro