Komposer dan pemuzik terkenal tanah air, Datuk Ooi Eow Jin dilaporkan telah meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur kira-kira jam 4 petang tadi.
‘Pergi’ pada usia 86 tahun
Memetik laporan Buletin TV3, berita pemergian tersebut disahkan sendiri oleh isteri mendiang iaitu Datin Khaw Lean Kee.
Dia dibawa ke hospital pada jam 1 tengah hari tadi, akibat pelbagai kompilasi serta kesukaran bernafas. Ketika rawatan dilakukan, dia pergi meninggalkan kami
Difahamkan, mendiang yang mengalami pelbagai komplikasi penyakit itu telah menghembuskan nafas terakhir pada usia 86 tahun.
Terdahulu pada tahun 2022, media melaporkan keadaan kesihatan Eow Jin yang menghidap penyakit Alzheimer sejak 2015 semakin merosot selepas dijangkiti virus Covid-19.
Untuk rekod, Eow Jin pernah menghasilkan beberapa lagu untuk penyanyi popular tanah air antaranya Allahyarham Datuk Sudirman Arshad, Datuk M Nasir dan Rahimah Rahim.
Komposer itu juga pernah berkhidmat sebagai pengarah muzik di TV3 dan mencipta beberapa lagu antaranya, gerimis Di Lautan, Lagu Untukmu, Masa Berlalu, Dia Ibuku dan Hati Yang Rapuh.
Sumber: Buletin TV3