Memang tak dapat dinafikan, amat sedih dan menakutkan apabila melihat kebanyakan anak muda zaman sekarang termasuklah kanak-kanak seakan sudah hilang adab dan budaya hormat-menghormati.
Terbaru, seorang wanita yang merupakan Kaunselor Laktasi meluahkan rasa terkilan dengan sikap segelintir anak muda yang langsung tidak menjaga adab dan bahasa di media sosial.
Ilmu penyusuan disalah tafsir
Menurut wanita yang dikenali dengan nama Nad Masrom, sejak kebelakangan ini dia telah menggunakan aplikasi TikTok bertujuan untuk berkongsi ilmu kepakarannya tentang cara penyusuan bayi dengan betul dan sebagainya. Tetapi siapa sangka, niat murninya disalah anggap oleh segelintir netizen bahkan mereka tergamak meninggalkan komen berbaur lucah pada video yang dikongsikan wanita ini.
Tidak terhenti di situ, menurut Nad, bukan golongan lelaki sahaja yang mengecamnya malah golongan wanita turut mengkritik tindakannya. Dakwa mereka, Nad telah memilih platform yang salah dalam berkongsi ilmu tersebut.
Namun yang lebih menyedihkan adalah komen-komen lucah yang tak putus setiap hari dari golongan lelaki yang bergelar bapa, lelaki bujang, dan paling ramai golongan remaja yang saya kira sebahagiannya adalah pelajar sekolah tak kira pelajar perempuan atau lelaki. Ada juga golongan remaja ini yang saya lihat akaun profilnya masih di bawah umur.
Siap tag kawan masing-masing di komen bila video saya masuk fyp untuk ‘travel’ bersama. Kemudian barulah saya tahu yang perkataan ‘travel’ itu merujuk kepada bayangan mereka kepada payudara sebenar bila lihat saya sedang demonstrasi tentang penyusuan susu ibu.
Terima mesej jijik
Meskipun sudah menerima banyak komen berbaur lucah, tetapi wanita ini mengakui dia tidak mudah melatah. Tambahnya lagi, penyusuan bayi bukanlah perkara yang lucah dan bukan sesuatu yang boleh dibuat sebagai lawak jenaka.
Saya juga acapkali diganggu secara personal selepas beberapa post atau video pendidikan tentang penyusuan susu ibu saya tular di media sosial. Beberapa kali saya menerima PM dari lelaki yang ayatnya sangat jijik untuk dibaca. Ada yang tanpa segan silu minta saya tunjukkan secara real agar mereka lebih faham. Selalunya saya block sahaja. Dan jika berlarutan saya akan ambil tindakan yang sepatutnya.
Dalam pada itu, wanita ini berharap agar ilmu penyusuan bayi ini menjadi satu perkara yang dititikberatkan oleh golongan wanita mahupun lelaki. Hal ini kerana, ianya adalah satu ilmu yang sangat penting terutamanya bagi mereka yang bergelar ibu dan bapa.
Komen netizen
Sumber: Nad Masrom