berita

Konon Jumpa Bayi Dekat Tangga Rumah Pukul 3 Pagi, Tapi Bila Ditanya Rupa-Rupanya…

April 4th, 2020 | by Shahira
Kini Trending

Di Chemor, Ipoh seorang wanita berusia 22 tahun telah ditahan pihak polis kerana disyaki membuang anak kandungnya yang baru sahaja dilahirkan. Lebih mengejutkan apabila wanita terbabit menafikan perbuatannya itu dan tidak mengaku bahawa bayi tersebut adalah anak kandungnya.

Tak mengaku anak sendiri

Menerusi laporan yang dipetik daripada Sinar Harian, bayi lelaki yang sihat dan masih bertali pusat itu ditinggalkan di tangga sebuah rumah. Bayi yang masih hidup itu ditemui oleh orang awam sebelum dilaporkan kepada pihak polis. Pihak polis kemudian menjalankan siasatan dan mereka mendapati rupa-rupanya bayi yang baru sahaja dilahirkan itu merupakan anak salah seorang penghuni dalam rumah berkenaan.

Tetapi sebaliknya pula yang berlaku apabila wanita terbabit tidak mengaku bayi tersebut adalah anak kandungnya dan dia dengan sengaja telah mereka cerita kononnya bayi tersebut telah ditinggalkan oleh seseorang di tangga rumah mereka pada jam 3 pagi. Lebih mengejutkan apabila orang awam yang melaporkan kejadian itu kepada pihak polis adalah bapa wanita berkenaan.

Tindakan bakal diambil

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata pihak polis kemudian bertindak menjalan siasatan lanjut dengan menyoal siasat suspek.

Pasukan siasatan membuat pemeriksaan dalam bilik suspek menemui setompok darah di atas lantai. Pemeriksaan lanjut menemui tompokan darah yang banyak di bahagian bawah katil disyaki milik suspek yang baru lepas bersalin.

Pada awalnya, suspek memberitahu bahawa darah berkenaan merupakan darah haid miliknya tetapi akhirnya dia mengakui bahawa bayi terbabit merupakan anak kandung yang baru dilahirkannya.

Bayi tersebut dalam keadaan sihat telah ditempatkan di hospital yang sama. Polis telah merampas beg tangan, buku rekod kesihatan dan ubat serta risalah berkaitan penyusuan susu ibu dan panduan pendidikan kesihatan anemia dalam kalangan ibu hamil.

Suspek kemudian telah dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh untuk rawatan lanjut. Tambahnya lagi, wanita terbabit akan disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan mendedahkan dan membuang kanak-kanak di bawah 12 tahun.

Sumber: Sinar Harian

SKIP THIS AD ×