berita

Konsep Keluarga Malaysia Jadi Pemangkin Keharmonian Kaum Ketika Pandemik

December 2nd, 2021 | by Nurul
Shout Out!

Kredit: Aswadi Alias/HM

Konsep Keluarga Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri kita Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilihat mampu menjadi pemangkin kepada keharmonian dan kestabilan kaum ketika negara dalam fasa pemulihan akibat pandemik.

Ia juga bersifat inklusif, kekeluargaan dan prihatin kepada semua lapisan masyarakat serta dilihat tepat pada masanya susulan situasi politik dalam negara yang berdepan kemelut sebelum ini.

Rakyat mula menerima Keluarga Malaysia

“Di mana-mana sekarang ini, orang mula bercakap dan menerima Keluarga Malaysia sebagai satu gagasan yang meliputi semua, tidak kira pangkat, kedudukan dan latar belakang,” jelas Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Multimedia Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shafezah Abdul Wahab,

Tambahnya lagi, rakyat di negara ini mahukan perubahan lebih-lebih lagi pada kestabilan dan kemakmuran serta sebuah kerajaan yang stabil tanpa meneruskan polemik politik tidak stabil terus berpanjangan.

Menurutnya, dalam konteks ini, kestabilan yang dicapai menerusi kesepakatan antara kerajaan dan pembangkang baru-baru ini benar-benar membuahkan hasil.

Shafezah berkata, kestabilan itu bermakna situasi di dalam negara lebih terkawal tanpa perlu menunggu pilihan raya untuk menubuhkan kerajaan baharu sebelum tiba masanya.

Ekonomi perlu diperkukuhkan segera demi kebaikan bersama

Kredit: Free Malaysia Today

Memandangkan situasi jangkitan yang belum pulih sepenuhnya, bantuan yang dihulurkan kerajaan membuatkan rakyat lebih yakin, khususnya golongan sasar dan industri kecil dan sederhana yang terkesan.

“Selain rakyat, pemimpin politik juga perlu bersama-sama Perdana Menteri untuk mempertahankan kedaulatan Keluarga Malaysia untuk memacu negara menjadi negara maju pasca Covid-19,” katanya.

Visi Keluarga Malaysia ialah memulihkan negara, mencapai status negara maju dan berpendapatan tinggi yang bermatlamat sebagai aspirasi jangka panjang kalis cabaran masa hadapan dalam mencapai visi itu berlandaskan Keberhasilan Kebahagiaan.

Selaras dengan situasi semasa, ia turut menggariskan hala tuju strategik iaitu rakyat Malaysia tanpa mengira agama dan bangsa akan berganding bahu memulihkan negara daripada impak negatif akibat Covid-19.

Ia juga merangkumi menyatupadukan seluruh rakyat Malaysia di bawah naungan Keluarga Malaysia, mengetepikan perbezaan politik untuk mencapai kestabilan, memulih semula dan merapatkan jurang ekonomi.

SKIP THIS AD ×