Dua nama besar muzik rock dan metal tempatan, Cromok dan Barbarik bakal berkongsi pentas bersama menerusi konsert Black On White Cromok-Barbarik pada 27 Jun ini di Idea Live Arena.

Artikel Berkaitan: Dua Legasi Rock Bersatu! Cromok & Barbarik Gegarkan Black On White

Artikel Berkaitan: Konsert Barbarik Pentas Peluru Cokelat Bakal Gegarkan Zepp KL! Ada Elemen Kejutan Buat Penonton

Cromok & Barbarik

Konsert anjuran KARL Legacy dengan kerjasama Pentas Barbarik itu menggabungkan dua kumpulan berpengaruh dengan identiti berbeza dan dijangka bakal menghasilkan persembahan memukau terutama buat peminat rock tempatan.

Bukan sahaja persembahan luar biasa yang dinantikan, malah konsert ini juga akan menampilkan sebuah segment khas tribute kepada kumpulan Kembara dengan susunan muzik yang lebih segar.

Menurut gitaris Barbarik, Jo Branco, mereka mahu menonjolkan kelainan di pentas pada malam konsert tersebut, selain kumpulan itu juga telah banyak memberikan inspirasi sejak zaman remaja lagi.

Saya memang tak suka buat konsert yang terlalu ‘straight forward’. Bagi saya, orang beli tiket bukan sekadar mahu tengok band main lagu, tetapi mereka mahu sebuah pengalaman.

Sebelum ini saya pernah berkolaborasi dengan beberapa kumpulan lain, tetapi bersama Cromok cabarannya lebih besar kerana karakter vokal Mus dan Sam sangat berbeza.

Jadi kami fikir perlu ada sesuatu yang boleh buat peminat lebih teruja untuk datang menyaksikan konsert ini.

Selain itu, kumpulan Kembara juga mempunyai karya-karya malar segar yang dekat dengan jiwa mereka dan sarat dengan mesej positif.

Kami membesar dengan lagu-lagu Kembara. Banyak lagu mereka sebenarnya underrated walaupun mempunyai lirik dan mesej yang sangat kuat. Jadi kami akan ‘rearrange’ lagu-lagu ini supaya lebih segar dan sesuai dengan energi persembahan Black On White.

Paling menarik, segmen ini akan menyaksikan Barbarik dan Cromok bergabung dalam beberapa persembahan khas sebagai penghormatan kepada Kembara.

Dalam masa sama, Karl Cromok menyifatkan segmen berkenaan sebagai satu perjalanan nostalgia yang diberikan nafas baharu mengikut identiti muzik kedua-dua kumpulan.

Kembara adalah antara muzik yang kami dengar ketika zaman remaja. Jadi segmen ini ibarat mengimbau kembali kenangan lama, tetapi diberikan sentuhan rock yang lebih moden dan bertenaga.

Konsert ini turut menjanjikan penyampaian luar biasa daripada Cromok dan Barbarik, selain persembahan single baharu daripada kedua-dua kumpulan yang akan dipersembahkan secara langsung buat pertama kali.

Kelainan tersendiri

Bukan itu sahaja, Karl memaklumkan konsert berkenaan turut mencipta kelainan tersendiri apabila tampil dengan konsep No Noise Digital Stage yang menggunakan teknologi persembahan digital sepenuhnya.

Kami menggunakan pendekatan persembahan 100 peratus digital tanpa penggunaan amplifier gitar atau dram akustik di atas pentas.

Semua audio dipantau menggunakan sistem digital dan in-ear monitor bagi menghasilkan bunyi yang lebih bersih serta pengalaman audio yang lebih berkualiti kepada penonton.

Barbarik bagaimanapun masih mengekalkan pendekatan persembahan konvensional mengikut keselesaan dan identiti kumpulan itu sendiri dengan penggunaan monitor wedges serta setup pentas yang lebih organik, namun tetap dibantu penggunaan mixer digital.

Konsert Black On White Cromok-Barbarik menawarkan beberapa kategori tiket dengan harga bermula RM175 bagi CAT 1, RM195 (CAT 2), RM250 (CAT 3), RM350 (CAT 4), RM480 (CAT 5) dan RM998 bagi pakej VIP (CAT 6).

Tiket boleh didapati menerusi laman web MyArteez bagi kategori CAT 1, CAT 2 dan CAT 6, manakala Fantopia pula menawarkan tiket bagi kategori CAT 3, CAT 4 dan CAT 5.

Sempena penganjuran konsert Black On White Cromok-Barbarik, Royale Chulan Damansara turut menawarkan pakej penginapan istimewa eksklusif kepada peminat dengan harga bermula RM238 nett termasuk sarapan, baucar makanan serta perkhidmatan shuttle percuma dari hotel ke lokasi konsert.

Konsert ini turut mendapat sokongan Kementerian Komunikasi melalui MyCreative Ventures.