Gabungan mantap empat penyanyi hebat tanah air, Ziana Zain, Anuar Zain, Ernie Zakri dan Syamel membuktikan magis vokal mereka masih berbisa apabila berjaya menggegarkan Mega Star Arena, Kuala Lumpur, malam Sabtu lalu menerusi konsert Empat: Live in Kuala Lumpur 2025.

Artikel Berkaitan: Ziana Sebak ‘Konsert Empat’ Jadi Persembahan Pertama Tanpa Arwah Bapa – ‘Nasihat Dia Terngiang Sampai Sekarang‘

Gegar 4,500 penonton

Lebih 4,500 penonton hadir menyaksikan persembahan epik hampir tiga jam yang sarat dengan emosi, jenaka dan nostalgia.

Konsert terbitan Anuar Zain Network dengan kerjasama Altus ProHouse itu menyatukan dua generasi penghibur dalam satu pentas buat julung kalinya.

Ernie membuka tirai konsert dengan penuh bertenaga menerusi lagu hitnya Ku Bersuara, diikuti Syamel dengan Lebih Sempurna.

Suasana kemudian bertukar klasik dengan persembahan Madah Berhelah oleh Ziana dan Keabadian Cinta oleh Anuar yang membawa penonton kembali ke era 90-an.

Lebih menghiburkan apabila keempat-empat artis saling mengusik dan bergurau di atas pentas.

Ziana digelar ‘Mak Long’, Anuar dipanggil ‘Pak Ngah’, manakala Syamel sempat mengusik Anuar sebagai ‘Tokey Panggung’.

Gurauan spontan itu mencuit hati penonton yang menyahut dengan sorakan gemuruh.

Sebanyak 28 lagu dipersembahkan malam itu, termasuk medley lagu-lagu nostalgia seperti Menadah Gerimis, Anggapanmu, Riwayat Cinta, Sedetik Lebih dan Lelaki Ini oleh dua beradik Ziana dan Anuar menggamatkan penonton.

Peminat Ernie dan Syamel turut terhibur dengan lagu-lagu seperti Aura, Beribu Tanda Tanya, Gundah dan Masing-Masing yang dibawakan penuh penghayatan dan tenaga.

Konsert yang diarahkan Jennifer Thompson serta diiringi muzik arahan Lee Sze Wan ini bukan sahaja mencetuskan fenomena nostalgia, malah menonjolkan kekuatan vokal dan karisma setiap penyanyi yang tiada tandingan.

Turut hadir memberikan sokongan ialah barisan selebriti dan penggiat seni seperti Datuk Hattan, Edry Abdul Halim, Noryn Aziz dan Salamiah Hassan.