Demi menghormati penderitaan dan keperitan rakyat di Gaza, Palestin, penganjur Konsert Milenia 2023 sekali lagi mengambil keputusan untuk menunda acara tersebut.
Konsert Milenia yang dijadualkan berlangsung pada 25 November ini di Stadium Malawati Shah Alam akan ditangguhkan ke satu tarikh lain yang akan diumumkan kelak.
Artikel Berkaitan: Hormati Sambutan Maulidur Rasul, Konsert Milenia Tukar Tarikh Ke 25 November 2023
Simpati dengan saudara Palestin
Menurut Pengarah Urusan Mission Sight Sdn Bhd merangkap pihak penganjur, iaitu Jeffri Yaacob berkata, pihak mereka menerima arahan daripada pihak Majlis Bandaraya Shah Alam yang memohon agar acara tersebut ditangguhkan kerana berpendapat tidak sesuai dengan situasi serangan tentera Israel ke atas Semenanjung Gaza yang sedang melanda.
Kata Jeffri lagi, satu tarikh baru akan diumumkan kelak sekiranya berjaya mendapatkan kebenaran daripada pihak berkenaan.
Kami selaku penganjur perlu menghormati keputusan tersebut dan bersetuju ia tidak sesuai berlangsung ketika ini, di saat dunia sedang bersimpati dengan perang dan kekejaman Zionis terhadap saudara kita di Palestin.
Pihak kami juga memulangkan wang kepada semua yang telah membeli tiket dari website dengan kadar segera.
Kami juga tidak mahu dilemparkan tuduhan negatif seperti ‘scammer’ dan sebagainya berikutan konsert ini juga telah tertunda sebanyak tiga kali di atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.
Kepada semua peminat yang menantikan Konsert Milenia 2023, milenia kami akan mengumumkan tarikh baru jika mendapat kebenaran daripada pihak sepatutnya.
Rasa berat sebelah
Selain itu, penganjur turut meluahkan rasa kesal dan berasa seperti dianaktirikan apabila konsert lain seperti Bollywood, Korea, Hollywood dan Kollywood tidak pula menjadi pertikaian sesetengah pihak seperti yang berlaku kepada konsert Dangdut.
Bukan mempersoalkan, jauh sekali tidak berpuas hati. Kerana konsert ini pasti akan terlaksana jua, namun perlu mendapat kesesuaian masa kerana faktor luar jangka yang sememangnya di luar batas kemampuan kami selaku penganjur.
Namun kehadiran pelbagai jenis muzik yang memasuki Malaysia tetap diluluskan konsert mereka seperti kehadiran artis dari Barat, Bollywood, Korea, Tamil namun tidak adil jika muzik dangdut ini dipinggirkan dan dianak tirikan sehingga sebegitu sukar untuk dianjurkan.
Tidak dapat dinafikan Genre Muzik dangdut ini sangat berat pada persepsi masyarakat namun kami selaku penganjur berpandangan dari perspektif berbeza kerana muzik dangdut ini adalah antara genre muzik tradisi negara sejak dahulu lagi dan kepelbagaian cara mendendangkan irama muzik dangdut ini menjadi sebab utama kami memilih untuk menjayakan konsert ini.
Selain itu, kami juga telah mendapat kelulusan dari Puspal, PDRM, MACP dan sokongan dari Motac serta Tourism Malaysia untuk mempromosikan Malaysia melalui Genre Muzik dangdut yang sealiran antara dua negara iaitu Indonesia dan mempunyai peminat yang sangat ramai.
Namun sehingga kini, muzik dangdut hanya sebagai pelengkap kepada genre muzik lain seperti Rock dan Balada yang mempunyai pengaruh yang sangat besar dalam industri muzik Malaysia.
Bercerita tentang persepsi gelek dan lucah pula, ia hanyalah persepsi namun ramai yang menganggap irama yang perlu diketengahkan ini negatif. Sedangkan selaku penganjur kami sudah melakukan yang terbaik untuk mengikut garis panduan yang telah ditetapkan Puspal.
Adakah kehadiran artis Bollywood dan yang lain-lain itu hanya berdiri tegak tanpa tarian? Sudah pastinya lebih dahsyat dari muzik Dangdut.
Bagaimanapun tambah beliau, Muzik Milenia Food Festival Ambang Tahun Baru akan tetap diteruskan memandangkan sudah mendapat perhatian daripada Menteri Besar Selangor untuk dijadikan acara penutup tahun di Stadium Malawati Shah Alam.
Besar kemungkinan akan menjadi salah satu lokasi pertunjukkan bunga api di Shah Alam dan festival ini juga mampu memberi peluang kepada para peniaga untuk berniaga pada festival tersebut.
Walaubagaimanapun ianya masih dalam perancangan dan penganjuran tersebut tetap perlu mendapat kebenaran dari pihak berkuasa tempatan.