Konsert sulung penyanyi pop British, Henry Moodie sempena Asia Tour membuka tirai dengan penuh bertenaga di Zepp Kuala Lumpur, malam Rabu lalu.

Konsert Henry Moodie di KL

Malaysia menjadi lokasi pertama bagi jelajah Asia penyanyi muda ini dan sambutannya hangat apabila kira-kira 1,500 peminat hadir memenuhi ruang dewan.

Membawakan persembahan selama lebih satu jam, Henry memukau penonton dengan rangkaian 18 buah lagu, termasuk lagu popularnya seperti You Were There For Me, Indigo, Bad Emotions, Pickup The Phone dan Drunk Text

Setiap lagu dipersembahkan dengan vokal yang mantap dan penuh penghayatan, diserikan lagi dengan iringan pemuzik profesional, pencahayaan yang dramatik serta visual yang memukau sekaligus merancakkan lagi suasana konsert.

Konsert yang dianjurkan oleh Live Nation ini menyaksikan Henry mempersembahkan versi akustik beberapa lagu popular antarabangsa, termasuk Someone Like You nyanyian Adele dan Birds Of A Feather daripada Billie Eilish, yang turut mendapat sorakan gemuruh daripada para penonton.

Menambah kemeriahan malam tersebut, penyanyi tempatan Daiyan Trisha membuat penampilan istimewa dengan mendendangkan lagu yang dinanti ramai iaitu Drunk Text secara duet bersama Henry. Momen ini menjadi antara kemuncak konsert yang mencuri perhatian, apabila seluruh dewan turut menyanyi bersama.

Penonton dihidangkan dengan persembahan pembuka tirai daripada Bradley Simpson, vokalis utama kumpulan terkenal British The Vamps.

Dalam pada itu, Henry turut meluahkan rasa terharu dan berjanji akan kembali lagi ke Malaysia di masa akan datang.

Selepas membuat penampilan sulungnya di Malaysia, penyanyi itu akan meneruskan jelajah ke beberapa bandar lain, termasuk di Bangkok (18 Julai), Seoul (23 Julai), Taipei (25 Julai), Hong Kong (28 Julai) dan Tokyo (30 Julai).