berita

KPDN Lancar Kempen Beli Barangan Malaysia Bagi Meluaskan Pasaran Produk Tempatan

September 14th, 2023 | by Syakilla Marzuki
Kini Trending

Korang tahu tak, produk tempatan di Malaysia kini semakin melonjak naik. Bukan saja makanan atau kraftangan, malah ada banyak lagi barangan buatan Malaysia yang dijual dengan kualiti yang memang tip top!

Jadi, bagi meluaskan lagi pasaran produk tempatan ini, Dato’ Rohaizi bin Bahari iaitu Pengarah Kanan Sektor Perdagangan Pengedaran dan Perniagaan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup baru-baru ini telah menyempurnakan Majlis Pra-Pelancaran Kempen Beli Barangan Malaysia 2023.

Ada pelbagai inisiatif yang dirancang bagi membantu ekonomi dan produk tempatan ini

Kempen Beli Barangan Malaysia 2023 ini telah mengetengahkan beberapa inisiatif strategik yang mana akan membantu melonjakkan ekonomi domestik, meluaskan pasaran produk tempatan, di samping membantu penerimaan rakyat terhadap barangan Malaysia.

Antara inisiatif yang dirancang termasuklah Pemerkasaan Produk Tempatan Di Dalam Industri Peruncitan Tempatan dan Platform Dalam Talian, Karnival Barangan Malaysia, Jelajah Mini Karnival Barangan Malaysia, Jualan Bertema Berdasarkan Segmen Khusus dan juga Kolaborasi Strategik Media Animasi Digital.

Kementerian bekerjasama dengan 16 syarikat peruncitan dalam mengangkat produk Malaysia

Kementerian juga telah menjalinkan kerjasama strategik bersama 16 syarikat peruncitan tempatan terkemuka negara dan juga 3 platform dalam talian bagi memastikan produk tempatan terus diperkasa menerusi syarikat-syarikat terbabit.

Selain itu, koloborasi strategik bersama syarikat Animonsta dan juga syarikat Warnakala juga turut dijalinkan bagi mempromosikan KBBM ini menerusi watak animasi Papa Pipi dan Didi & Friends.

Bukan itu saja, kerjasama bersama Malaysia Bumiputera Designer Jualan Bertema Association (MBDA) dan juga Perbadanan Kraftangan Malaysia juga telah dijalinkan bagi pelaksanaan khusus dalam mengangkat produk Malaysia menerusi segmen fesyen dan kraftangan.

Diharap inisiatif ini boleh menaikkan semula pembelian barangan lokal & juga dapat merangsang ekonomi dengan baik!

Di samping mengimbangi cabaran dan tekanan globalisasi ekonomi semasa khususnya untuk merangsang pertumbuhan ekonomi domestik, diharap dengan inisiatif ini dapat menjadi pemangkin dan meningkatkan pembelian dan penggunaan produk atau perkhidmatan tempatan kita.

Jadi, korang buatlah pilihan dengan tepat dan bijak dengan membeli serta memilih barangan Malaysia yang sememangnya berkualiti dan setanding dengan produk luar ni.

“Jom Sokong dan Beli” Barangan Malaysia “Barang Baik, Barang Kita”!

SKIP THIS AD ×