berita

Kren Tumbang Hempap 3 Rumah & 2 Kereta, Bayi Lelaki Berusia 3 Bulan Antara Yang Cedera

December 14th, 2019 | by Azizi Rahman
Kini Trending

Malang tidak berbau. Itulah yang terjadi kepada beberapa individu selepas sebuah kren berantai di tapak projek pembinaan kondominium tumbang di Bandar Baru Sentul, petang semalam.

Apa yang lebih malang, kejadian itu telah menyebabkan seramai empat orang mangsa mengalami kecederaan termasuklah seorang bayi lelaki yang baru berusia tiga bulan.

Hempap tiga rumah, dua kereta

Menerusi laporan Berita Harian, kren tersebut dikatakan telah menghempap tiga buah rumah dan dua biji kereta.

Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur memaklumkan, pihak mereka telah menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 6.34 petang dan bertindak menghantar sepasukan anggota berserta sebuah jentera ke tempat kejadian.

Susulan itu, sepasukan 11 anggota bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sentul diketuai Othman Abu Bakar, dihantar ke lokasi kejadian.

Setiba di lokasi 12 minit kemudian, pasukan penyelamat mendapati sebuah kren berantai tumbang dan menghalang laluan jalan raya.

Punca kejadian disiasat

Katanya dalam satu kenyataan, mangsa yang terlibat terdiri daripada seorang lelaki, dua wanita dan seorang bayi lelaki berusia tiga bulan.

Ekoran daripada kejadian itu, kesemua mangsa yang cedera dihantar dengan ambulans ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner S Shanmugamoorthy Chinniah mengesahkan perkara itu dan berkata punca berhubung kejadian tersebut masih dalam siasatan.

Sumber: Berita Harian, Astro Awani

 

The following two tabs change content below.

Azizi Rahman

Content Champion at Rev Asia Berhad
Semoga dunia kembali pulih!

SKIP THIS AD ×