Ibu kepada Allahyarhamah Zara Qairina, iaitu Noraidah Lamat nekad untuk menggali semula kubur anaknya bagi tujuan bedah siasat demi mendapatkan keadilan dan kepastian mengenai punca sebenar kematian remaja berusia 13 tahun itu.

Artikel Berkaitan: Kes Zara Qairina: 60 Saksi Dipanggil Polis

Mahu lakukan bedah siasat

Memetik laporan Berita Harian, Noraidah, 45, memaklumkan bahawa keputusan tersebut dibuat setelah dibelenggu pelbagai persoalan mengenai pemergian anaknya, Zara Qairina Mahathir.

Saya mahu persoalan yang berlegar di kepala berhubung punca sebenar kematian anak saya, Zara Qairina Mahathir, 13, sejak 14 hari lalu bernoktah. 

Jadi, demi mendapat jawapan itu dan keadilan untuknya, saya mengarahkan dua peguam menguruskan proses bagi membolehkan kubur anak digali semula untuk melakukan bedah siasat terhadap jenazahnya.

Tambah Noraidah lagi, pengebumian anaknya pada 17 Julai lalu dilakukan tanpa sebarang proses bedah siasat kerana tiada pihak yang mencadangkan perkara tersebut kepadanya pada waktu itu.

Bagaimanapun, pada keesokan harinya, mereka sekeluarga mula menyedari beberapa perkara mencurigakan mengenai kematian Zara.

Pelbagai cerita disebarkan berhubung kematian Zara Qairina dan ia mengguris hati saya. Ia bukan keluar daripada mulut saya, jadi saya mahu semua pihak hentikan spekulasi itu.

Saya akui kesedihan akibat tragedi menimpa Zara Qairina tak akan padam dan banyak persoalan timbul. Saya mahu tahu punca sebenar kematiannya, justeru proses bedah siasat perlu dilakukan dan kuburnya perlu digali semula.

Apa pun keputusan yang keluar hasil bedah siasat itu kelak dan siasatan polis, saya terima dengan reda kerana ia menjawab segala persoalan yang masih tiada jawapan sehingga kini.

Pada Khamis, polis telah merakam keterangan 60 saksi berhubung kes kematian Zara Qairina termasuk tiga individu dengan nama ‘Kak Wana’, ‘Kak Dedeng’ dan ‘Tomboi’ iaitu antara nama disebut mempunyai kaitan dengan kes kematiannya.

Pada 16 Julai lalu, Zara Qairina ditemui pada kira-kira jam 3 dalam keadaan parah di bawah bangunan asrama sebelum dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) di Kota Kinabalu untuk rawatan lanjut.

Bagaimanapun, pelajar itu meninggal dunia di hospital keesokan harinya dengan laporan awal mengatakan dia terjatuh dari tingkat tiga asrama sekolah.

Sumber: Berita Harian