berita

Kurang Didikan & Hanya Fikir Keseronokan Dunia – Jaafar Onn

January 8th, 2013 | by Ai
Kini Trending

Baru-baru ini telah berlagsungnya ‘Majlis Penyampaian Sumbangan Kebajikan Artis 2012’ bertempat di Dataran Karyawan Finas, Ampang, Selangor. Secara umumnya, majlis ini diadakan bagi membantu serta meringankan bebanan para artis dan dalam masa yang sama tidak melupakan kebajikan serta hak artis muda.

Pada dasarnya, sumbangan ini merupakan peruntukan yang telah di sediakan oleh pihak kerajaan dan ia dibahagikan secara berperingkat-peringkat. Sumbangan ini turut merupakan satu langkah positif oleh pihak kerajaan dalam membela nasib para seniman serta seniwati Malaysia.

Antara artis yang menerima sumbangan pada hari tersebut adalah Dato’ Aziz Satar, Seniwati Mariani, A Galak, Yazid (Kumpulan Search), Jaafar Onn serta Hamid Gurkha. Menurut Jaafar Onn, ini adalah kali pertama dirinya menerima sumbangan dan merasa sedikit terkejut dan tidak menyangka tatkala namanya disenaraikan dalam penerima sumbangan oleh pihak kerajaan.

“Ini kali pertama saya menerima sumbangan daripada kerajaan dan tak sangka apabila tersenarai untuk menerima sumbangan ini.”

“Bila kerajaan sudah pandang artis punya kerjaya, ia adalah satu perkara yang bagus. Lagipun artis juga boleh dikatakan sebagai sehebat menteri sebab mereka membawa nama negara ke mana-mana sahaja.”

“Bila sebut sahaja sebagai artis, semua orang nak tahu pasal diri kia. Jadi sebagai artis, mereka juga perlu ada ilmu agar pandai menjaga nama keluarga. Bila artis ini tidak berpelajaran, mereka akan mudah melupakan keluarga dan apabila sudah berjaya mereka akan lupa diri dengan kemewahan duniawi,” tegas Jaafar Onn penuh semangat.

Mengulas lebih lanjut mengenai sikap artis yang mudah lupa diri, OHBULAN! sempat bertanyakan mengenai pandangan Jaafar Onn sendiri mengenai seorang artis wanita yang baru-baru ini dikaitkan dengan isu penyalahgunaan dadah dan apakah tindakan yang harus diambil oleh pihak berwajib bagi mengatasi masalah sebegini?

“Itu disebabkan kurang didikan dan dia hanya fikir pasal keseronokan dunia sahaja tanpa fikirkan soal akhirat.”

“Oleh itu, kerajaan seharusnya perlu mengadakan satu kelas Fardhu Ain untuk para artis tempatan, sama ada yang sudah tua mahupun yang masih muda.”

Merujuk perkembangan terbaru, Jaafar Onn kini dilantik sebagai duta kepada Persatuan Kedah yang bertindak sebagai individu penting untuk memperkenalkan produk masakan tradisional negeri tersebut. Dalam pada itu, selebriti ini turut aktif dalam proses menghasilkan album bersama Rohana Jalil serta bekerjasama dengan komposer terkenal, Helen Yap untuk lagu terbarunya.

SKIP THIS AD ×