berita

Lagi Ajaran Sesat Di Indonesia – Beli ‘Kad Syurga’ Harga RM3, Konon Mampu Hapuskan Dosa

November 6th, 2019 | by Shahira
Kini Trending

Seorang pemimpin Tarekat Ta’jil Khalwatiyah di Sulawesi, Indonesia telah ditangkap oleh pihak polis kerana didakwa menyebarkan ajaran sesat kepada orang ramai. Malah, pemimpin yang dikenali  Syech Yusuf Puang La’lang ini dikatakan telah menjual ‘kad syurga’ dengan harga serendah RM 3 kepada para pengikutnya.

Jual ‘kad syurga’

Menerusi laporan Tribun News, Puang La’lang ini mengaburi mata pengikutnya dengan mengatakan bahawa ‘kad syurga’ tersebut mampu menghapuskan dosa para pengikutnya sekaligus membolehkan mereka masuk ke syurga.

Menurut jurucakap Gowa, mereka yang berhasrat untuk menyertai kumpulan ini dikehendaki membeli tiket syurga itu dengan bayaran antara Rp10,000 (RM3) dan Rp50,000 (RM15).

Mereka yang membeli tiket syurga ini dijanjikan keselamatan di dunia dan akhirat.

Mengaku dirinya adalah nabi

 

Bukan itu sahaja, mereka juga diwajibkan membayar zakat kepada Puang La’lang sebagai ‘yuran’ ahli.

Antara zakat yang dikenakan adalah ‘zakat badan’ iaitu mereka perlu membayar zakat mengikut berat badan masing-masing dengan kiraan 1 kilogram bersamaan RM 1.50. Selain itu, ada juga zakat maal atau harta dengan nilai 2.5% dari hasil mereka.

Puang La’lang bukan sahaja menyebarkan ajaran sesat dengan menjual ‘kad syurga’ malah dia juga turut mengaku bahawa dirinya adalah nabi.

Ajarannya ini hampir seluruh Indonesia hingga luar negara, tepatnya di Malaysia.

Menjual 317 ‘kad syurga’ kepada pengikut

Puang dikatakan telah berjaya menjual 317 ‘kad syurga’ kepada pengikutnya. Dia kini sedang berdepan dengan pelbagai tuduhan jenayah seperti penghinaan agama, penipuan, pencacatan nikah, talak dan rujuk, serta pengubahan wang haram.

Majlis Ulama Indonesia di Gowa turut menyerahkan kepada pihak polis ratusan tiket ke syurga, kad pelaris, wang tunai, keris, buku serta risalah ilmu kebal dan kekayaan hasil daripada rampasan pengikut tarekat itu.

Sumber: Tribun News, Harian Metro

SKIP THIS AD ×